Wednesday, October 15, 2008

YB J,Bukan KJ

Wednesday, October 15, 2008

' POLITIK BARU YB JOSEPHINE'.. KARYA AGUNG UMAT MELAYU !


BRILLIANT,EXTRA-ORDINARY,HEBAT,JAGOAN,HERO ! ia adalah karya chamil wariya yg boleh dianggap masterpiece dalam senarai cerpen kesedaran politik yg pernah wujud sejak zaman kemerdekaan tanah melayu ! setaraf keperwiraan chamil seperti karya2 agung shakepeare yang membangkitkan persoalan kehidupan masyarakat english.
ahhh...inilah jiwa penulisan yg gap tunggu..yg selama ini diam dan akhirnya bangkit sebagai libasan minda jiwa2 melayu yg lemah yg lupa !!!!
SEBARKAN KEPADA SEMUA UMAT ! ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR
Politik baru YB J
PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.
Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.
Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.
Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah Islamnya.”Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah memangkahnya.
Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.
Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”
Pertanyaan
Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.
Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.
Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.
Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.
Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.
Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam hatinya.
Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.
“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.” Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.“Apa maksud kamu mungkin tidak.”" Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”“Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.
Bergantung
“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"
“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.
Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak orang Melayu.”Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.
Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.
YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.
Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..
Dikejutkan
Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.
Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.
Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.
Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.
Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.
Posted by GAP KEMBALI at 5:31 AM 0 comments

Saturday, October 11, 2008

Mukhriz VS KJ

October 11, 2008


MONOLOG AZLI SHUKRIBab 8 : Kenapa Bukan Khairy
Memilih pemimpin bukanlah seperti memilih pakaian. Mana-mana yang kita berkenan, maka kita terus memilih dan membeli tanpa banyak berfikir. Memilih pemimpin juga bukanlah seperti memilih makanan yang mana-mana kita suka, maka kita terus makan, tanpa banyak berfikir. Tetapi, memilih pemimpin adalah umpama memilih seorang isteri atau seorang suami. Mesti kenal dan mesti pastikan bahawa calon isteri atau suami tersebut memahami diri dan mengetahui hati budi kita yang sebenar. Begitu juga dalam memilih seorang pemimpin, sebelum kita memilih seseorang pemimpin, seharusnya kita fahami terlebih dahulu siapakah pemimpin yang hendak kita pilih itu. Bukan boleh main ikut suka atau ikut hati semata-mata. Kita seharusnya melakukan analisis terlebih dahulu, layak atau tidak seseorang itu memegang sesuatu jawatan yang sedang dipertandingkan. Hal ini adalah kerana, jawatan adalah amanah dan tanggungjawab. Jika salah kita memilih, maka akan hancurlah sesuatu organisasi tersebut. Dan kita menanggung dosanya.
Bertitik tolak daripada hal itu, dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, calon yang hendak dipilih mestilah benar-benar kita kenal. Dari segi akhlaknya, pemikirannya dan juga latar belakangnya. Jika tidak, UMNO akan hanyut daripada hati orang-orang muda. Jika kita sayangkan UMNO, kepimpinan pemuda harus benar-benar utuh dan bebas daripada fitnah yang boleh merosakkan nama baik pemuda UMNO itu sendiri. Dalam soal ini, kita harus rasional dalam berpolitik dan bukan lagi berpolitik ikut suka dan ikut bulu. Kita harus mengikut kebenaran dan membuat pertimbangan dengan rasional dan adil, serta mencari Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang memperjuangnya kebenaran dan tidak mementingkan diri sendiri.
Saya secara peribadi melihat calon yang terbaik menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia ialah Datuk Mukhriz Mahathir, dan bukan Khairy Jamaluddin atau calon-calon yang lain. Kita harus faham terlebih dahulu kondisi atau keadaan UMNO ketika ini. UMNO sedang berhadapan dengan zaman pancaroba dan zaman fitnah paling dahsyat dalam sejarahnya. Oleh sebab itu, Ketua Pemuda UMNO yang harus dipilih, ialah individu yang mampu berhadapan dengan fitnah dahsyat dan dakyah pembangkang, di samping mampu menyerapkan unsur-unsur agama dan amanah dalam perjuangan pemuda. Dalam hal ini, saya tidak nampak mengapa mesti ada pemuda bahagian yang mencalonkan Khairy Jamaluddin? adakah mereka tidak dapat melihat apakah yang telah berlaku kepada UMNO selama beliau berada di dalam UMNO?
Semua orang, tanyalah kepada hati kecil masing-masing, tiada sesiapa pun yang mampu menafikan, bahawa Khairy Jamaluddin merupakan salah satu faktor yang menyebabkan UMNO dipandang negatif dalam kalangan masyarakat, bahkan dalam kalangan ahli pemuda UMNO sendiri. Semua orang tahu, beliau merupakan fitnah besar kepada UMNO dan Pemuda UMNO, itu realiti dan bukan fantasi.
Oleh sebab itu, setelah saya menganalisis secara rapi berkenaan Khairy Jamaluddin, maka saya bertanggungjawab untuk menyampaikan perkara yang hak dan benar, bahawa beliau tidak berupaya memimpin Pemuda UMNO Malaysia untuk masa hadapan. Lantaran itu, para perwakilan pemuda harus merenung kembali analisis-analisis saya ini, sebelum mencalonkan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Mohon petunjuk kepada Allah dan hindarilah saya daripada menganalisis beliau secara tidak amanah dan jujur. Sama-sama kita renung hujah-hujah saya ini. Dan bersama-samalah kita berdoa yang terbaik untuk pemuda UMNO Malaysia.
Dalam siri pertama ini saya bentangkan 3 hujah dahulu daripada (7+1 hujah) agar sama-sama kita berfikir sebelum mencalonkan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Kepada Kahiry Jamaluddin saya mohon maaf, kerana saya terpaksa bercakap benar dan tidak boleh lagi menyimpan perkara yang hak dan saudara akan dinilai dengan adil dan saksama. "Ya Allah, Engkau berikan kekuatan kepada hamba-MU ini untuk bercakap perkara yang hak dan benar, dan janganlah sesekali Engkau pesongkan niat dan hasrat murni hamba-Mu ini. Hanya kepada-Mu aku berserah, agar tulisan ini lahir dengan rasa kesedaran dan keikhlasan dan bukan untuk menimbulkan fitnah kepada mana-mana individu. Amin."
Hujah 1 : Imej merupakan nadi penting kepada seseorang pemimpin. Jika imejnya buruk dan jelek, maka pemimpin itu dikira buruk dan jelek pada kaca mata masyarakat. Pemimpin pada hari ini, akan diukur kepada sejauh mana imej beliau di kaca mata masyarakat. Jika imej seperti seorang ustaz, maka imej baiklah yang akan muncul pada pandangan masyarakat. Jika imejnya seperti seorang doktor, maka imej pandailah yang melekat dalam minda masyarakat. Oleh sebab itu, imej amat penting dalam memilih pemimpin. Semasa Nabi Muhammad sebelum diutus sebagai rasul, imej baginda dalam kalangan penduduk Mekkah ialah al-Amin, yakni orang yang sangat dipercayai dan tidak pernah menipu serta jujur dalam tutur katanya. Maka, itulah imej baginda sehingga baginda wafat. Jadi, imej amat penting bagi seorang pemimpin untuk membina pengaruh dan meyakinkan orang ramai.
Nah, sekarang mari kita tutup sebentar mata kita. Dan sebuat nama Khairy Jamaluddin, berlaku jujur, apakah imej yang anda bayangkan untuk beliau? Kita akan banyak terbayang perkara yang negatif tentang dirinya – umpamanya imej yang terlintas dalam kota minda kita ialah, beliau seorang yang gelojoh dan ingin cepat berkuasa dalam politik, tidak tahu erti sabar, banyak campur tangan dalam pentadbiran negara, banyak mempengaruhi perdana menteri, suka ambil kesempatan, dan sering menimbulkan masalah. Dan sekarang, cuba imejkan pula individu yang bernama Datuk Mukhriz Mahathir, apakah yang kita bayangkan? Seorang yang berani, jujur, tidak suka mengambil kesempatan sewaktu ayahnya menjadi perdana menteri, berterus-terang dan mempunyai visi dan misi seperti ayahnya juga. Pendek kata, imej Mukhriz adalah positif berbandingan dengan Khairy dan calon-calon lain, apatah lagi Mukhriz dibayangi oleh ketokohan ayahnya yang sangat dikagumi oleh banyak pihak, “Mahathir” nama yang meniti di setiap bibir lawan dan kawan – jadi, mengapa masih terdapat pemuda-pemuda UMNO bahagian yang masih memilih Khairy? Apakah agenda kita yang sebenarnya sewaktu kita mencalonkan nama Khairy? Saya tidak nampak imej baik Khairy pada kaca mata masyarakat? Tetapi, mengapa masih ada yang terus mencalonkannya?
Hujah 2 : Sepanjang Khairy Jamaluddin memasuki UMNO, dan semenjak beliau ingin bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, fitnah telah menjalar terlalu kuat dalam UMNO dan tempiasnya turut terkena kepada seluruh lapisan Masyarakat. Batang tubuh Khairy Jamaluddin telah menjadi fitnah yang sangat dahsyat kepada UMNO, bukan sahaja kerana beliau naik begitu pantas, malah lebih daripada itu. Dengan munculnya versi Hikayat Khairy Jamaluddin yang tersebar luas di alam maya, namanya sudah terlalu kotor untuk dibersihkan kembali. Tatkala Tun Mahathir berhujah bagaimanakah peranan beliau melakukan campur tangan dalam pentadbiran Pak Lah dan mempengaruhi perdana menteri berhubung isu-isu politik, namanya sudah harum semerbak – sebagai watak jahat dalam episod “Pemuda UMNO yang Paling Berkuasa dalam Zamannya.”
Semua ini melengkapkan ramuan sebuah kek fitnah yang paling besar dalam sejarah penubuhan UMNO dan Pemudanya. Beliau tidak hanya dikaitkan dengan sifat suka campur tangan dalam pentabdiran negara dan politik – bahkan namanya juga terheret dalam tayangan gambar paling panas berjudul “Skandal KJ dan Maya Karim”. Walaupun semua ini didakwa sebagai fitnah, namun demikian, punca pintu fitnah ini dibuka adalah melalui sikap dan sifat beliau sendiri, bukan orang lain. Tidak perlu menyalahkan sesiapa pun dalam soal ini. Beliau sendiri yang merebahkan dirinya dalam gaung fitnah yang amat dalam. Dan sekarang, seluruh warga UMNO dan Barisan Nasional menerima padahnya dalam pilihan raya ke-12.
Mereka yang masih menafikan faktor KJ yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU ke-!2, telah cuba membelanya dengan mendakwa, bahawa isu rasuah dan penyelewengan kuasa yang dilakukan pada zaman Tun Mahathir adalah penyebab utama UMNO dan BN kalah teruk dalam PRU-Ke12. Hujah ini dangkal dan mudah dipatahkan – yakni bukankah isu rasuah dan penyelewangan kuasa adalah isu yang sememangnya dimainkan oleh semua orang sejak Tun Mahathir memimpin Malaysia lagi? Tetapi mengapa, UMNO dan BN tidak pernah kalah seteruk ini dalam pilihan raya?
Jadi, sudah pasti ada faktor lain yang membantu menggoncangkan kekuasaan UMNO dan BN yang tidak pernah berlaku dalam sejarahnya. Bukankah sebelum ini, isu rasuah, perempuan dan kronisme sering didendangkan oleh pembangkang? Tetapi mengapa BN tetap kukuh dengan kuasa majoritinya di Parlimen? Oleh sebab itu, sudah pasti terdapat faktor lain yang menyebabkan BN kalah seteruk ini. Hal ini, tak lain dan tak bukan, adalah disebabkan oleh faktor Khairy Jamaluddin! Beliau merupakan fitnah yang jauh lebih dahsyat daripada fitnah-fitnah yang lain, termasuk isu rasuah dan sebagainya. Dalam diri Khairy itu terhimpun pelbagai fitnah yang sangat sukar untuk dibuang dan dicuci. Beliau dikaitkan dengan begitu banyak fitnah – beliau merupakan watak kronisme dan nepotisme paling nyata dalam sejarah penubuhan UMNO, menggunakan hubungan darah dan sijil nikah untuk melompat naik ke puncak – satu watak yang sukar diampunkan oleh sesiapa pun. Beliau turut menjelmakan watak Machiavelli – pemuda Itali yang gila kuasa. Semua ini adalah fitnah kepada UMNO dan menghancurkan dirinya. Dan orang seperti ini, tidak layak dilantik sebagai pemimpin. Pemimpin yang penuh dengan fitnah tidak layak memimpin parti dan kerajaan, kerana rakyat akan muak dan memberontak. Cukup! Hentikan pencalonan kepada Khairy!
Hujah 3 : Satu lagi faktor yang mudah orang lupa ialah, prestasi kerja Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia selama hampir empat tahun. Sekarang mari kita berlaku jujur dan jangan menipu diri sendiri lagi. Apakah yang hendak kita tulis berkenaan rekod pencapaian kerjanya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia selama ini? Sangat Cemerlang, Cemerlang, Kurang Cemerlang, Sederhana atau Gagal? Mana satu pilihan kita – berlaku jujur dalam soal ini. Jangan teruskan monolog bodoh kita, dengan berbisik “Aku Tidak Tahu”. Tanyakan kepada akal serta hati dan bukan bertanya kepada Khairy “How Much You Want To Give?”.
Hampir semua idea dan projek di bawah Khairy telah mengalami kegagalan. Ke mana perginya MyTeam? Apakah yang sudah terjadi dengan program mengurangkan pengangguran dalam kalangan lepasan ijazah yang kononya dahulu mendapat kerjasama yang amat baik dengan syarikat-syarikat besar tempatan? Apakah yang sudah terjadi dengan program “Dampingi Mat Rempit” yang pernah dilakukan dahulu di Dataran Merdeka dan menerima kritikan pedas daripada pelbagai pihak, kerana program tersebut didakwa lebih banyak membawa musibah serta menggalakkan pergaulan bebas. Apakah yang terjadi dengan program “Terjun Kutub Utara” yang kononnya ingin membuat rekod anak Melayu adalah hebat dan ingin menanam al-Quran di sana sebagai tanda kehebatan anak Malaysia, nasib baik idea gila ini ditegur oleh Mufti Perak. Berapa ramaikah pemuda Malaysia yang dibenarkan terjun lagi? Apakah impaknya? Rakyat tidak nampak.
Sebagai bekas Pengerusi Forum Halal Sedunia suatu ketika dahulu, apakah yang telah beliau lakukan dalam membantu pemuda-pemuda UMNO menceburi industri yang sangat menguntungkan ini. Berapa ramai ahli pemuda UMNO yang berjaya atas nama industri Halal? Boleh dihitung dengan ibu jari kaki. Rakyat dan ahli UMNO tak nampak. Sekarang, Sebagai Timbalan Presiden FAM – kita tercari-cari idea Khairy dalam menyuntik pembangunan bola sepak negara agar lebih bertenaga dan berjaya. Tetapi, hasilnya semakin teruk, kekalahan demi kekalahan dialami oleh pasukan bola sepak Malaysia. Akhirnya, semua ini membawa kita kepada satu kesimpulan, bahawa beliau merupakan seorang Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya selama ini.
Lantarannya itu, apakah alasannya lagi untuk beliau diberi peluang menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula? Ketika Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda, beliau telah diberi secukupnya ruang dan peluang, bagi membuktikan keupayaan sebenar beliau. Dengan kemenangan percuma yang diterimanya sebagai Naib Ketua Pemuda, ditambahkan pula sebagai menantu kepada Perdana Menteri Malaysia, sesungguhnya beliau sudah cukup selesa dan kuat untuk melaksanakan idea dan tanggungjawabnya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang paling berjaya dan cemerlang dalam kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia yang tidak pernah tertulis dalam lipatan sejarah– tetapi malang, beliau telah gagal dan hasilnya tiada. Yang ditemui hanyalah “Cetusan Rasa Perkauman yang Menakutkan ” melalui ciuman bergilir si Keris Sang Saka Bangsa – idea siapakah itu?
Khairy Jamaluddin, nama yang gagal sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Dan apakah dengan segala kegagalan ini, melayakkan beliau untuk dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Hanya mereka yang tidak tahu makna cemerlang, gemilang dan terbilang sahaja, yang sanggup mencalonkan nama Khairy Jamaluddin. Orang yang telah terbukti gagal dalam tanggungjawabnya, tidak layak untuk dinaikan pangkat. Sudah, hentikan pencalonan untuk Khairy!
Bersambung....
Ditulis Oleh Muhammad Azli Shukri at 11:58 AM 18 Ulasan
Labels: