Friday, December 5, 2008

Tukar Nama?????????

Menjelangnya Hari Raya Haji atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban, maka dengan ini kita sebagai anak bangsa melayu seharusnya berkorban "Marilah kita sama-sama mendesak kerajaan agar menukar kembali nama negara kita yang ada sekarang kepada yang asalnya iaitu Semenanjung Tanah Melayu". Jangan lah digunakan Semenanjung Malaysia, kerana apabila nama sekarang digunakan ramai kaum-kaum lain yang asalnya adalah pendatang mula lupa daratan dan lupa diri dan dengan angkuh dan bangga mendesak berkaitan ketuanan melayu.

Apa yang kita hendak lakukan bukanlah menidak kaum lain,tetapi kaum lain yang membuatkan kaum asal negara ini mula terhakis keistimewaan dan hak-hak yang seharusnya diperolehi tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Marilah NGO-NGO melayu menyahut cabaran ini.....

Biar "penduduk dunia semenanjung tanah melayu" sedar bahawa kaum melayu jangan dipermainkan sebagaimana kita melihat USA menjalankan hukuman mati keatas Saddam Hussein semasa rakyat dunia meraayakan Hari Raya Korban....

Tuesday, December 2, 2008

Ucapan bernas Ahli Parlimen Sri Gading Mempertahankan Orang Melayu.

Saya melihat, seperti baru-baru ini pemimpin MCA sendiri mempertikaikan ketuanan Melayu. Kenapa? Apa dosa orang Melayu yang hendak dipertikaikan kemelayuannya?Ketuanan Melayu bukan bermakna bangsa lain dalam negara ini menjadi hamba.

Tidak!Malahan sebenarnya, ketuanan Melayu itu hanyalah simbol dalam sejarah negara ini yang tidak pula hendak menghina bangsa-bangsa yang lain. MCA kalah teruk dalam pilihan raya bulan Mac 2008 yang baru ini. Apakah kekalahan MCA, maka kekalahan itu hendak disalahkan kepada UMNO?

Betapa UMNO yang menjadi tonggak kepada Barisan Nasional, walaupun MCA kalah, menteri empat orang tetap dilantik. Timbalan Menteri tetap dilantik. Apakah orang Melayu bersifat ketuanan sehinggakan mengetepikan orang Cina? Apa yang orang Cina mahu lagi dalam negara ini? Kekayaan! Segala-galanya telah diberi. Tidak ada rasa pun orang Melayu bahawa dia telah menghina bangsa lain. Tidak. Kenapa?

Kalau parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri bersifat biadab sebegitu, diterjemahkan oleh kepimpinan nombor duanya, apa, apa yang kita harapkan? Apa yang kita harapkan? Saya tidak tahulah MCA agaknya, dia mahu agaknya peta politik negara ini hendak berubah. Apakah pemimpin-pemimpin MCA, pemimpinpemimpin GERAKAN, yang mengungkit-ungkit perkauman yang jelas anti kepada Melayu ini hendak kita biarkan.

UMNO satu ketika dahulu, Dato’ Ahmad Ismail membuat sedikit ucapan yang menyinggung. Kita pecat! UMNO pecat! Tetapi MCA, apakah berani memecat kepimpinannya? Apakah GERAKAN berani memecat kepimpinannya? [Tepuk] Kenapa?Kenapa?Kalau orang UMNO silap sedikit, orang MCA, orang Cina melatah, orang lain melatah.

Kalau Gerakan bercakap dengan perkara-perkara yang begitu kenapa tidak ambil tindakan?Saya harap ambil tindakan. Apakah berani kepimpinan MCA mengambil tindakan kepada pucuk pimpinannya yang biadab dan kurang ajar menyentuh tentang ketuanan Melayu ini.

Saya berharaplah kepimpinan Barisan Nasional, UMNO, Ahmad Ismail, ampunkanlah dia balik! Kalau inilah sikap komponen kita yang tidak menunjukkan rasa kesetiaan dalam perpaduan kaum dalam negara ini, kenapa kita hendak menyusahkan orang UMNO yang sedikit membuat kesilapan?

Inilah Tuan Pengerusi, saya kadang-kadang fikir Majlis Rumah Terbuka Malaysia ini dihapuskan. Tidak payahlah! Kalau sudah di peringkat kepimpinan sendiri pun perpaduan tidak wujud, apa yang kita harap kepada orang-orang di bawah kepimpinan kita? Di mana?Di mana Tuan Pengerusi? [Tepuk] [Disampuk]

Di mana hendak kita halakan negara kita kalau semua puak yang tertentu dalam komponen Barisan Nasional bercakap seperti parti pembangkang? [Tepuk] Ini PPP, tak sedar diri. Pasal sedikit, kata nak ugut keluar parti. Saya cadangkan PPP disingkirkan! Get out you daripada Barisan Nasional, sekarang juga! Kita peduli apa.

Kini saya harap Tuan Pengerusi, minta maaflah. Minta maaf, saya bukan hendak menyinggung sesiapa. Akan tetapi saya amat cinta kepada perpaduan negara ini. Kalau masing-masing kita biarkan bercakap ikut sedap mulut, ikut sedap parti, hendak popular dari segi kaum sendiri, menghiris hati orang lain, kita tidak akan sampai ke mana-mana. Ini, apa tindakan? Apa tindakan yang patut dibuat?Saya tak tahulah. Ini, saya minta maaf. Saya minta maaf. Oh, nampak UMNO ini lemah, orang nak buli, betul! Akan tetapi, UMNO lemah pun kerana ada sabotaj daripada rakan-rakan sendiri. Akan tetapi UMNO orang Melayu tidak pernah sabotaj! MCA bertanding dalam kawasan majoriti Melayu, menang!! Dalam kawasan saya, Dewan Negeri Parit Yani, majoriti Melayu saya tentukan, Melayu mesti menyokong MCA punya calon, pasal atas dasar perpaduan.Ini balasan, ini balasan. Kalau sudah kata hendak ketuanan Melayu, tidak payah lantiklah MCA jadi Menteri, Timbalan Menteri. MIC, PPP, tidak ada kerusi menang. Kita lantik dia jadi senator, lantik dia jadi anggota kerajaan. Tak sedarkah ini bagaimana toleratenya UMNO, orang Melayu dalam kepimpinan negara ini untuk menentukan perpaduan kaum yang mewakili kaum-kaum ini dapat duduk bersama-sama.

Jadi ini Tuan Pengerusi, saya haraplah permainan-permainan yang berbahaya ini mesti diberhentikan dengan segera. Mesti diberhentikan dengan segera. Betul UMNO lemah tetapi jangan lupa, dalam Dewan Parlimen ini, bukan Melayu itu UMNO sahaja. Melayu juga dalam PAS.Tiba masanya kalau diperlukan UMNO dan PAS boleh bergabung atas nama bangsa, atas nama agama, jangan lupa. Akan tetapi apakah permainan ini nak kita hidangkan kepada rakyat negara ini, jangan.

Ini UMNO dan PAS ini carik-carik bulu ayam, macam kita kata mencencang air dia tidak akan putus.Memang kita kadang-kadang ada masalah, itu biasa, tapi nanti dari segi kepentingan bangsa dan agama, tidak mustahil.

Dalam politik, tidak ada perkara yang mustahil. Saya nak ingatkan, jadi jangan nak cetuskan api perkauman yang seolah-olah Melayu ini menekan, Melayu ini menghina, Melayu ini begitu, Melayu ini.

Saya nak tanya berapa ramai Melayu boleh beli tanah Cina? Mana ada Melayu beli tanah cina, tapi ratusan ribu hektar tanah orang Melayu, Cina beli. Berapa banyak tanah-tanah perumahan seluruhnya 90% orang Cina beli. Apakah orang Cina masih tidak puas?

Dengan begitu sekali lembutnya orang Melayu yang jadi tunggak kepada negara ini.Saya haraplah, saya nak beri amaran kepada pemimpin-pemimpin MCA, pemimpinpemimpin GERAKAN, tolong berhentikan permainan api ini. Kalau DAP saya tak hairan, DAP saya tak hairan, memang kerja dia dan kalau dia tak kerja itu dia tak dapat sokongan, saya tahu.Akan tetapi parti komponen rakan kita yang selama ini satu kelambu, satu selimut yang kita belai, yang kita bela, sanggup menikam kita. Adakah ini persahabatan? Masa senang engkau peluk aku, masa susah kau nak terajang aku.

Teks ucapan Mohamad Aziz di parlimen.
copyright by add @ Jurublog 11.05pm

Monday, December 1, 2008

Janji seorang brok'er untuk jadi PM

ANWAR IBRAHIM meletakkan cagaran baru - Negeri Sarawak - sebagai modal taruhannya untuk berjaya merealisasikan projek 16 September iaitu menukar kerajaan persekutuan secara tidak demokratik, dari kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

"Langkah pertama, gegarkan Sarawak. Sarawak barisan hadapan kita sekarang," kata penasihat PKR dalam ceramah khas malam tadi bersempena kongres nasional kelima partinya selama dua hari di Shah Alam bermula 29 November 2008.

Katanya, beliau akan ke Sarawak pada 14 Disember ini dan mengarahkan semua pimpinan PKR bergilir-gilir untuk ke sana setiap minggu untuk meraih keyakinan masyarakat di sana pilihanraya negeri, selewat-lewatnya diadakan 2010.

Cagaran paling mahal negeri Sarawak

Kali ini Anwar telah mempertaruhkan negeri Sarawak, sebagai cagaran untuk merealisasikan cita-citanya untuk masuk ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri. Itulah inti ucapan Anwar semasa menyampaikan Ucapan Khas Penasihat PKR di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR pada 29 November.
Begitu mahal cagarannya, seluruh rakyat dan kekayaan negeri Sarawak menjadi taruhannya semata-mata untuk merealisasikan cita-citanya menjejaki kaki ke Putrajaya.
Persoalannya, adakah seluruh rakyat Sarawak, rela negerinya jadi bahan pertaruhan, semata-mata untuk memenuhi impian seorang rakyat Semenanjung, dari Pulau Pinang yang telah dianggap sebagai tokoh yang telah mati tarikh luput (Expired Date)?

Sepatutnya Anwar sudah jadi PM, 10 tahun lalu, sekitar tahun 1998, ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ketika berada di ambang kekuasaan, satu tapak lagi ke tangga Putrajaya, tetapi takdir Illahi melebihi perancangan manusia. Walaupun ketika itu (1998), rakyat bangkit ibarat gelombang tsunami, solat hajat di rumah Anwar, di surau dan masjid seluruh pelusuk Malaysia berdoa untuk Anwar, malah Al Gore dari Amerika turun tiupkan api refomasi, moga-moga rakyat bangkit dan berjaya tumbangkan kerajaan, meniup kuasa rakyat menolak kerajaan yang sedia ada, tetapi takdir Illahi menetapkan Anwar bersalah dan terpaksa merengkok di penjara serta melupakan impiannya menjadi PM.Sepatutnya berada di penjara selama sembilan tahun, Anwar belajar erti mengenal diri. Jangan angkuh dan jangan ambil kuasa Tuhan, boleh meramalkan apa akan terjadi pada tarikh berikutnya. Bukan tidak boleh merancang, tetapi perlu akur dengan ketentuanNYA. Kalau sudah ketentuanNYA menakdirkan Anwar bukan Perdana Menteri yang sesuai untuk rakyat Malaysia, bermakna sudah jelas isyarat dari Illahi.

Walaupun Anwar dengan penuh yakin bercakap kepada Jim Middleston, News Hours Australia (pada 22 April 2008) dan Al-Jazeera, 101 East (pada 28 Ogos 2008) bahawa beliau akan jadi PM pada 16 September, namun takdir Illahi menakdirkan bahawa impian Anwar jadi PM pada tarikh tersebut, tidak lebih dari angan-angan Mat Jenin.

Sudah dua kali isyarat jelas daripada Illahi, adakah Anwar berusaha menongkah arus melawan isyarat dan takdirNYA ?
Benar seperti pendapat Faisal Tehrani, Anwar tidak berubah, sanggup gadaikan apa sahaja (termasuk Islam) semata-mata memuaskan hatinya menjadi orang nombor satu paling berkuasa di Malaysia.

Tulis Faisal, "Nah, suka? Saya juga boleh menggunakan jargon-jargon hebat dalam bahasa Jerman seperti Anwar Ibrahim, memandangkan seluruh dunia termasuk Jerusalem Post memuji beliau, maka saya wajar menjadikan beliau contoh..Oleh kerana bahasa politik adalah menghimpun kekuasaan maka di Indonesia, sempena majlis memperingati 100 tahun Hamka saya boleh berkata begini, "Buku Buya Hamka, Tafsir Al Azhar menemani saya selama dua kali di penjara".Tulisnya lagi, "Hebat bukan cara saya memuja ulama besar Indonesia, Profesor Haji Abdul Malik Karim Amrullah alias Buya Hamka? (sila lihat TEMPO Interaktif Rabu, 09 April 2008). Saya beri saudara apa yang saudara mahu, saudara mahu Islam dan ulama? Saya beri. Dengan jargon hebat yang melongokan. Disuntik sedikit emosi: arghhh hari-hari lampau yang menyedihkan itu...saya akan berkata begini pula di khalayak yang lain, katakanlah di Australia: "I see Shakespeare as a major figure of international and humanitarian dimension. In the solitude of my prison cell clearly Shakespeare appeared to me as a brilliant genius of all times and for all cultures. I am in debt to Shakespeare in that sense because I was able to fly away from that small constraint of those four walls during incarceration to become this major spectator of this classic work of that great genius.Begitu lah bunyi 'keynote di VIII World Shakespeare Congress' (Rujuk The VIII World Shakespeare Congress, Brisbane City Hall, July 16-21 2006)"

Itulah nukilan seorang pujangga muda bernama Faisal Tehrani, anak didik DBP yang mempunyai pengaruhnya tersendiri. Rumus Faisal, Anwar bercakap dua versi yang berbeza berlatar belakangkan kisah 9 tahun di penjara. Ketika di depan khalayak Islam di Indonesia, Anwar meletakkan dirinya hampir dengan tokoh ulama tersohor di Indonesia, Buya Hamka, pengarang tafsir Al Quran, Tafsir Al Azhar. Tetapi ketika Anwar berhadapan dengan khalayak Kristian, di Australia, nama Buya Hamka telah dipadamkan, diganti pula dengan seorang tokoh yang amat dikenali oleh masyarakat Kristian iaitu Shakespeare.

Itulah yang dirumuskan oleh penulis muda itu, "Latar sama. Tapi tema lain-lain. Bergantung apa yang saudara mahu dengar. Begitulah bahasa yang saya gunakan. Orang akan terpana. Begitu bahasa politik. Untuk khalayak berbeza saya akan 'temberang' beza".

Anwar cagar Sarawak berpakat dengan siapa ?
Anwar berucap meletakkan Sarawak sebagai cagaran barunya di hadapan para 1927 perwakilan, 1200 pemerhati penyokongnya semasa kongres itu. Turut hadir Lim Kit Siang, mentor penentu dasar DAP, tetapi wakil PAS tidak dihadiri oleh mentor dan penentu dasar PAS, sebaliknya dihadiri oleh team yang dilabel Erdogan, iaitu Kamaruddin Jaafar, Husam Musa, Khalid Samad dan lain-lain.

Sesetengah pihak berpendapat, usaha meletakkan cagaran baru ini sebagai mengalih isu, supaya tidak ditanya oleh pewakilan PKR, apakah sebab-sebab projek 16 September yang lalu. Sedangkan sebelum ini Timbalan Presiden parti itu Dr Syed Husin Ali berkata, beliau menjangkakan perkara itu akan dijelaskan tokoh utama PKR itu dalam kongres tahunan kelima itu.

Dakwa Dr Syed Husin,terdapat ahli-ahli PKR dalam pergerakan Wanita dan Angkatan Mudanya yang termakan dengan popaganda media mengatakan Anwar berbohong.
Sama ada ahli-ahli PKR termakan dengan propaganda media, tetapi seluruh rakyat Malaysia, sudah tahu bahawa Anwar bukan PM Malaysia pada 16 September lalu, sedangkan sebelum ini, Anwar penuh yakin, tanpa bersandarkan kalimah "Insya Allah", yakin dengan sebenar-benarnya, 16 September, Anwar jadi PM Malaysia. Apabila keyakinan yang tidak bersandarkan kuasa Allah itu, dan tidak menjadi kenyataan, adakah Anwar bukan Pembohong ?
Menariknya setiap kali Anwar berucap mengenai projek 16 September, Anwar hanya bercakap kepada penyokongnya. Tiada pembuat dasar PAS terutamanya Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Nik Aziz yang menyaksikan ucapan 'peralihan kerajaan itu.

Dari situ, seolah-olah menunjukkan PAS awal-awal lagi menunjukkan tidak minatnya. Barangkali untuk melakukan kerja tidak demokratik itu, PAS hanya hantar Kamaruddin Jaafar dan Husam Musa sebagai posmen.
Barangkali Anwar masih belum faham-faham, isyarat PAS sebelum ini, tidak wakil pembuat dasar yang bersama-sama Anwar berucap mengenai projek 16 September. Kerana masih belum faham, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS hantar isyarat pertama pada 4 September 2008.
Kata Mohamad Sabu, "Saya pun tidak berusaha ke arah itu (projek 16 September)...Saya macam orang lain juga, tunggu dan lihat. Saya lebih cenderung untuk menunjukkan kehebatan (pentadbiran) di lima negeri yang kita perintah. Tunjukkan kehebatan kita, betul-betul tidak berlaku rasuah, amalan nepotisme, berlaku penjimatan dan kebajikan.."
Seperti biasa, Anwar seolah-olah tidak mempedulikan kata-kata Mohamad Sabu, walhal, beliau mewakili orang nombor tiga dalam hiraki kepimpinan PAS. Bukti ketidakpedulian Anwar kepada teguran PAS, beliau masih mengulangi janji yang sama kepada kawan-kawannya di Indonesia semasa berkunjung ke negara itu.
Kata Anwar di Jakarta pada 6 September, "Saya tetap pada target saya, 16 September menjadi waktu untuk mengistirahatkan Badawi. Untuk itu, saya rileks sebentar sehari lompat ke Jakarta, berdiskusi dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia,"
Oleh kerana Anwar masih berdegil, seluruh instrumen media PAS termasuk Harakah, TV PAS dan Siasah menjemput Mustafa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat pada 8 September, mengadakan sidang media untuk post mortem mengenai projek 16 September, gagasan ketua de facto PKR.
Kata Mustafa Ali, "Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh," begitulah tegasnya berkali-kali dalam forum khas "16 September".
Beliau yang bercakap berdasarkan pengalaman dan atas kapisiti peribadinya memberi dua sebab untuk menolak 16 September tidak berlaku apa-apa perubahan.
Pertama katanya dari segi teknikal. Ini jelas kerana katanya pada tarikh berkenaan Parlimen tidak bersidang jadi bagaimana perubahan (menjatuhkan) kerajaan berlaku kerana tidak ada persidangan pada hari itu.
"Sesuatu undi tidak percaya ataupun ‘peralihan kerajaan’ akan dilakukan menerusi Parlimen saja. Jadi kalau Parlimen tidak bersidang bagaimana akan berlaku undi tidak percaya?" soal beliau. Tambahnya, hanya Parlimen saja boleh melakukan apa-apa perubahan termasuk untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Kedua dari segi politik. Menurutnya dari segi politik juga tidak logik kalau ada ahli Parlimen BN berhijrah kepada Pakatan semata-mata kerana hendak menyokong Anwar. "Adalah ganjil dan sukar untuk dipercayai ahli Parlimen akan bersedia untuk berhijrah dari tempat (komponen) yang sudah ada kuasa kepada Pakatan yang belum ada kuasa," katanya.
Dari segi moral dan intergriti juga, penghijrahan itu seperti mana yang disebut itu tidak akan berlaku kerana ia melibatkan soal moral dan intergriti. Kerajaan yang ditubuhkan atas penghijrahan dan tawaran kebendaan akan dilihat sebagai tidak bermoral dan ini sesuatu yang tentunya akan dititik beratkan.
Dalam konteks ini katanya bagi Pas ia sangat bertentangan parti itu yang menekankan soal moral dan akhlak. Bagi Pas katanya, tindakan politik demikian sesuatu yang bertentangan dengan nilai perjuangan Pas dan ia tidak akan dilakukan oleh mereka yang sudah lama dan menghayati perjuangan Pas. "Tidak tahulah kalau mereka yang baru dalam Pas bersedia untuk sama-sama berbuat demikian!"
Apabila menjelangnya hari yang dimaksudkan Anwar, pada 16 September, projek 16 September yang dicanang sejak Mac 2008, tidak menjadi kenyataan. Sekarang cakap siapa yang boleh dipegang; Anwar Ibrahim atau Mustafa Ali ?
Sebab itu, bukan setakat ahli PKR saja cakap Anwar pembohong, majoriti rakyat Malaysia juga berfikiran begitu. Blogger bernama Cekka pun kata Anwar kaki temberang!.
Sebenarnya isyarat Naib Presiden PAS dan Pengarah Pilihanraya PAS pusat sebagai sambungan daripada episod isyarat awal dari Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa.
Nasarudin ketika diwawancara oleh The Star, 22 Julai lalu, berkata "Saya tidak pasti populariti dia (Anwar) masih hebat dibandingkan untuk 1998. terutamanya bila muncul kes Saiful dan akuan berkanun oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam.."
Katanya lagi, "Masyarakat Melayu mula ragu-ragu kepada Anwar, terutamanya keengganan Anwar bersumpah dengan Al Quran untuk membersihkan namanya"
Malah, Presiden PAS, Ustaz Hadi Awang, pada bulan Julai 2008 turut memberi warning jelas kepada Anwar ketika diwawancara Harakah.
Kata Presiden PAS, "Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat.."Bukan dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan ..Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak..orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan...PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya umum ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain..Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh!"

Sarawak jadi taruhan, Anwar umpama broker ?

Apabila kita menghayati wawancara Anwar dengan Haslinda Amin wakil Bloomberg dari Singapura Oktober 2008 lalu, kita dapat rasakan Anwar menganggap Projek 16 Septmeber seumpama seperti perniagaan.
"Saya akan..Insya Allah..buktikan kepada mereka (kawan-kawan di luar negara)..buktikan kepada mereka (kawan-kawannya di luar negara)..dalam bisnes ini..... saya ada bilangan yang mencukupi..dan negara ini perlu kepada perubahan.."
Dua kali Anwar mengulangi ikrarnya akan membuktikan kepada kawan-kawannya di luar negara bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk menumbang kerajaan.
Wawancara itu menarik minat pelawat blog ini yang menggunakan nama pena Wok Yoh untuk membuat komen seperti berikut :
Tulis Wok Yoh, "Ayat "before we let you to go" oleh pengacara itu (Haslinda Amin) seakan bermaksud Anwar telah diarah atau dipaksa untuk diwawancara dan disusuli dengan soalan killer ...tentang komitmen barunya untuk mengambil alih kuasa..."what is your new dateline?" itu boleh disifatkan sebagai arahan atau tekanan dari pihak tertentu di sebalik wawancara untuk Anwar meneruskan lagi misi yang gagal pada 916.
Selepas itu Anwar berkata "..insyaAllah...will proved THEM... Proved to THEM......this country need to changes"....
Siapa "THEM" itu? Biasanya "them" mewakili "beberapa orang". Adakah itu janji baru Anwar kepada pihak pihak tertentu di luar sana??? fikir fikirkanlah!
Persoalan Wok Yoh mempunyai asas. Kalau benar sekalipun Anwar mempunyai bilangan mencukupi seperti yang selalu diucapkan..we have the numbers....we have the numbers...Anwar tidak wajar menumbangkan kerajaan semata-mata untuk membuktikan kepada mereka. Untuk apa dibuktikan kepada mereka ?
Sarawak, negeri kita, Malaysia tanahair kita, kenapa perlu dipertaruhkan kepada mereka, semata-mata untuk membuktikan Anwar bercakap benar kepada mereka ?
Persoalannya adakah sebelum ini, Anwar telah membuat apa-apa perjanjian dengan mereka (kawan-kawan di luar negara) sehingga Anwar terpaksa bersusah payah menjelaskan sebab-sebab kegagalan kepada mereka ?
Rakyat Malaysia mungkin tidak kisah, jika Anwar sekadar memberitahu media Indonesia tentang kegagalan projek 16 Septembernya itu, tetapi rakyat mencurigai motif Anwar mewar-warkan projek ini kepada media asing di Barat.
Seandainya Anwar benar-benar patriotik, sepatutnya Anwar hanya perlu menjelaskan sebab-sebab kegagalan projek itu dalam media Harakah, Siasah atau Suara Keadilan (jika Anwar dakwa media utama tidak akan menyiarkannya). Cukup dengan tiga media itu, diletak di muka hadapan, wawancara penuh dengan penjelasan secara terperinci, kerana ketiga-tiga media itu akan sampai ke akar umbi.
Hormati kebijaksanaan rakyat Malaysia menilainya dengan seadilnya. Bukan setakat mengutamakan kepada masyarakat Barat, rakyat Malaysia pun berhak mengetahuinya, dan bijak menilainya.
Tetapi, semasa Kongres PKR kelima, sepatutnya Anwar gunakan kesempatan untuk menjelaskan sebab-sebab kegagalan itu, namun Anwar sekali lagi mengabaikannya.Adakah kali ini juga terdapat sekatan pihak-pihak tertentu, hingga Anwar tidak boleh menjelaskannya di gelanggang sendiri ?
Lebih pelik lagi, Anwar begitu ghairah menceritakan sebab-sebab itu kepada media asing, termasuk Bloomboerg.
Untuk apa, Anwar bersusah payah melaporkan situasi politik Malaysia kepada media milik Yahudi itu, sedangkan Anwar tidak berminat mengupasnya di gelanggang sendiri ?
Adakah ini bermaksud, projek 16 September adalah perjudian Anwar dengan kawan-kawannya di luar negara dan Malaysia serta terbarunya Sarawak pula jadi taruhannya ?


add@suarapolitik
Apa dosa melayu terhadap bukan melayu?

MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu?

Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan.
Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri.
Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu.


Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan.

Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian.
Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000.


Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu.

Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti 'menyalak' dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu - ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik.

Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang 'bertuah' manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri.

Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut.

Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan 'air liur'. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara.

Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu.


add@utusan online
UMNO patut bangkit bersuara...komponen BN perlu tutup mulut.

Isu ketuanan Melayu nampaknya masih belum reda, malah parti komponen BN pun turut menghentam. Sebelum ini, Ketua Wanita Gerakan, Dato' Tan Lian Hoe telah membangkitkan perkara itu. Khamis lalu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek pula menolak konsep ketuanan Melayu dengan mengatakan ia tidak relevan dan ditolak pelbagai kaum. Kenyataan beliau kemudian disokong oleh Ketua Wanita MCA, Dr Che Mei Fun yang mengatakan bahawa tanah air ini milik semua rakyat dan mereka adalah tuan tanah Malaysia. Terbaharu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mendakwa istilah ketuanan Melayu menggambarkan seolah-olah seperti hubungan hamba dengan tuan. Kelantangan mereka ini mungkin kerana pemimpin Melayu berdiam diri kononnya ingin menjaga hati dan perasaan kaum lain. Lantas mereka terus menerus dihina.

Perkara ini diakui sendiri oleh Datuk Mukhriz Mahathir. “UMNO harus bangkit bersuara dan parti-parti komponen di dalam BN pula harus tutup mulut dan jaga hal masing-masing. “Orang luar dari UMNO, termasuk parti-parti komponen BN tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara yang berkaitan dengan orang Melayu, khususnya ketuanan Melayu. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin parti komponen dalah tidak sihat dan boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti di dalam BN,” katanya. “Selama ini kita bersikap toleransi, tetapi kenyataan-kenyataan yang dibuat kebelakangan ini memang mengundang reaksi.

Parti-parti komponen harus mengelak daripada terus bercakap mengenai isu ini yang mengguris hati UMNO. Beliau mengakui isu ketuanan Melayu timbul akibat salah faham dan pengertian kerana setiap orang mempunyai kefahaman dan pandangan berbeza mengenainya, terutamanya penggunaan istilah “tuan”.

“Adalah lebih baik kita menumpukan perhatian mencari jalan cara terbaik menyatupadukan rakyat.,” tambahnya. Sehubungan itu Mukhriz mencadangkan supaya langkah menyatupadukan rakyat dibuat di peringkat sekolah. “Semua sekolah harus diserapkan ke dalam satu sistem persekolahan dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perantara, kecuali bagi mata pelajaran Matematik dan Sains. “Sistem ini telah digunakan di hampir seluruh negara di dunia. Sudah tiba masanya kita melahirkan satu bangsa yang bersatu padu daripada peringkat sekolah. Sistem ini boleh dinamakan sebagai sistem pendidikan Malaysia. Mengikut sistem, kita boleh menetapkan mata pelajaran Bahasa Mandarin diwajibkan bagi pelajar Cina dan Bahasa Tamil diwajibkan bagi pelajar India. Pada masa yang sama mata pelajaran ini juga terbuka kepada kaum lain.

Dengan cara ini kita boleh menggalakkan pelajar menguasai tiga bahasa. Apabila ditanya samada beliau tidak bimbang cadangan ini akan dijadikan isu oleh kaum lain, Datuk Mukhriz berkata, sistem yang dicadangkan ini adalah sistem yang demokrasi.

“Kita boleh mengekalkan sekolah-sekolah yang sedia ada seperti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan, cuma sistem pelajarannya sahaja yang berubah,” katanya.

Copyright @ agendadaily