Friday, February 27, 2009

UMNO di penghujung rindu...???!!!


UMNO yang ku junjung sudah ke penghujung.

1. Ramai antara yang membaca tulisan saya membuat kritikan terhadap saya kerana saya seolah-olah dipunyai (possessed) oleh UMNO; seolah-olah UMNO ini seperti Agama yang tidak boleh ditinggalkan walaupun parti itu telah menjadikan orang Melayu dalam keadaan parah.

2. Saya dikatakan buta mata hati kerana masih ingin melihat UMNO itu kukuh sedangkan impian hanyalah ibarat mimpi di siang hari.

3. Ramai yang menghantar e-mail kepada saya supaya melupakan sahaja UMNO ini kerana UMNO sudah lari terlalu jauh daripada tujuan asal penubuhannya.

4. Dalam pada itu, ramai pula yang membuat interpretasi bahawa saya sudah tidak setia kepada UMNO kerana kritikan pedas saya terhadap parti tertua di mana saya adalah ahlinya.

5. Ramai juga yang faham bahawa kritikan saya itu merupakan introspeksi untuk UMNO sendiri bagi mengharapkan perubahan sikap ahli dan pemimpin parti ini agar UMNO terus menjadi sandaran kepada masa depan orang Melayu dan bangsa-bangsa lain yang tinggal dan bermastautin di negara bertuah ini.

6. Apa pun pandangan daripada sesiapa pun saya tetap membuat kritikan kerana saya mahu melihat UMNO seperti UMNO yang saya kenali dahulu.

7. Seorang yang saya baru kenal membuat panggilan telefon kepada saya kerana beliau nak tahu apa yang saya ingin lihat, kerana beliau mengakui yang dia kurang faham tentang apa sebenarnya yang saya maksudkan dan katakan selama ini.

8. Sebenarnya inilah masalah pemimpin UMNO yang sebenarnya; mereka tidak faham dan mahu tahu apa sebenarnya UMNO itu dan bagaimana hendak menjadi ahli yang baik kepada sebuah parti yang sedang menghadapi krisis besar seperti yang kita hadapi sekarang.

9. Oleh kerana mereka tidak faham tentang kenapa dia menjadi ahli, maka banyak tindakan dan keputusan mereka dianggap buruk dan akhirnya menjadikan parti itu dipandang rendah oleh masyarakat yang mengundi.

10. Saya pernah mengusulkan cadangan supaya ahli UMNO tidak perlu diperbesarkan, kerana lagi besar jumlah keahliannya lagi banyak masalah yang akan parti itu hadapi.

11. Jika hampir 45 peratus orang Melayu menyertai UMNO bermakna semua sampah sarap masuk ke dalam parti itu dan akan banyak ‘infighting’ di peringkat cawangan yang puluhan ribu jumlahnya.

12. Apabila sampai waktu pilihanraya maka undi akan lari kerana perpecahan di peringkat cawangan boleh dirasai dan dilihat di mana-mana.

13. Apa yang penting bagi sebuah parti seperti UMNO ialah memperkuatkan dasar dan perlaksanaan dasar yang tepat, bersih daripada salah laku pelaksana dan memberikan manfaat kepada ahli dan rakyat.

14. Jika UMNO dihormati dengan cara ini maka rakyat yang mengundi akan memberi penghormatan dan pengiktirafan dan sekaligus mudah untuk menyambung mandat yang telah diberikan oleh mereka selama ini.

15. Apakah salahnya jika UMNO hanya menerima hanya 250,000 ahli tetapi parti itu disanjung dan dihormati oleh rakyat?

16. Apakah faedahnya mempunyai 3 juta ahli yang berpecah-belah sedangkan akhirnya rakyat akan mentelaah kemajuan parti tersebut melalui dasar yang dibentuk dan perlaksanaan yang bersih daripada rasuah dan salahguna kuasa oleh pelaksana?

17. Dahulunya, kepimpinan UMNO di peringkat cawangan sangat dihormati kerana kepimpinan cawangan-cawangan kebanyakannya dikuasai oleh guru-guru.

18. Guru adalah orang yang dihormati oleh masyarakat dan itulah sebabnya di cawangan-cawangan tidak banyak bergolak kerana imej seorang guru di desa dan di kampung sangat tinggi.

19. Tetapi sekarang cawangan-cawangan dikuasai olih ahli-ahli perniagaan maka itulah factor yang menyebabkan UMNO diperniagakan dari cawangan sehingga ke peringkat tertinggi parti.

20. Baru-baru ini saya dikatakan oleh seorang ahli UMNO yang saya ini seorang yang bodoh kerana tiada dapat apa-apa berjuang dalam UMNO malahan saya telah hilang segala-galanya.

21. Dia mengatakan saya begitu bodoh kerana akhirnya anak isteri dan keluarga menjadi korban hidup dalam kesusahan dan disebaliknya orang-orang yang mengikuti saya dahulu sudah jadi Menteri dan Menteri Besar dan jawatan-jawatan pentingyang lain dalam kerajaan dan swasta.

22. Salah seorang lagi berkata kepada saya, “Bro, you are the victim of being to obsessed with certain leaders which ultimately make yourself a political destitute and no one look at you and in the end you are not even given human regard by them.. You are sinking and no one even bother to know about your livelihood.”

23. Saya hanya mampu menjawab, “someone has to act stupid bro, and I choose to be one. As long as I know myself that I am not stupid, I shall remain as what I am.”

24. Bagi orang seperti ini mereka menganggap saya bodoh alang. Pandangan seperti ini tentunya terbit daripada sikap mereka yang memandang UMNO itu tempat mencari makan dan memperkayakan diri dan keluarga.

25. Saya bukan anti orang yang hendak menjadi kaya tetapi saya tidak bersetuju dengan sesiapa yang menggunakan UMNO untuk kepentingan peribadi sehingga mengorbankan perjuangan parti itu.

26. Memang pun UMNO itu wujud untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dalam semua bidang kehidupan.

27. Kritikan kawan-kawan saya terima dengan penuh hormat walaupun saya sendiri kadangkala tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Tetapi saya hanya menerima dengan baik niatnya hendak melihat saya hidup dalam keadaan lebih baik sedikit.

28. Sebagai seorang yang sudah masuk ke dalam kumpulan warga emas saya sudah mula belajar hidup sendirian dengan keluarga dan sanak-saudara.

29. Itu sebenarnya kehidupan yang sejati dan jika saya merawat kesihatan saya, saya akan masuk wad di hospital tanpa memberi tahu sesiapa selain daripada anak isteri yang telah bersusah-payah berkorban dengan saya selama ini.

30. Saya ikhlas untuk melihat kawan-kawan berjaya dari jauh dan itu adalah santapan jiwa yang yang sangat enak bagi saya.

31. Saya akan puas jika saya lihat negara saya ditadbir dengan kepimpinan yang bersih daripada rasuah dan salahguna kuasa kerana ia akan membangunkan negara dengan baik untuk generasi yang akan datang termasuklah anak cucu saya sendiri.

32. Yang penting sekarang UMNO mesti berubah sikap secara total. Saya bersama orang ramai memang tidak ada keyakinan dengan barisan sekarang dan barisan yang akan mengambil alih ini.

33. Jangan tidak percaya kepada pandangan saya ini; jika Najib benar-benar ambil alih sama-sama kita lihat, UMNO akan terkubur.

34. Saya amat takut, kerana UMNO yang selama ini ku junjung seolah-olah sudah sampai ke penghujung usianya. Jika itu berlaku apalah yang bakal terjadi kepada orang Melayu yang rata-ratanya masih lemah ini.Sekian…

copy@ Aspan Alias by add

Wednesday, February 25, 2009

AKIBAT PPSMI KEPADA POLITIK NEGARA

Akibat sampingan PPSMIPembangkang dapat senjata tambahanJika tak pasti yang hendak dicapaiEloklah kembali ke pangkal jalanSEKURANG-KURANGNYA ada dua akibat sampingan PPSMI yang telah membawa 'padah politik' (jika tidak mahu menggunakan perkataan 'musibah politik') kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pertama, isu itu telah memberi platform tambahan kepada parti-parti pembangkang untuk bersatu menggodam BN.

Kedua, dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN sendiri telah terjadi perpecahan akibat perbezaan pendapat mengenai isu PPSMI itu. Perbezaan pendapat ini berlaku di kalangan sesama menteri dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat UMNO dan juga antara menteri-menteri BN.
Itu adalah antara akibat-akibat jangka pendek dari segi politik. Kesan jangka panjang dari segi pendidikan dan pembinaan negara bangsa, masih berterusan menjadi punca pertelingkahan di kalangan pelbagai pihak. Kita belum lagi menyebut kesan ekonominya terhadap kewangan negara dari segi pembiayaan infrastruktur tambahan dan elaun guru-guru yang terlibat dalam pelaksanaan PPSMI itu.


Kerana itu, di tengah-tengah hiruk-pikuk suara-suara menentang dan mempertahankan PPSMI sekarang, saya ingin menyarankan supaya kita menanyakan kembali beberapa soalan asas. Pertama, mungkin ramai yang tidak tahu atau sudah lupa apakah ayat penuh daripada singkatan PPSMI itu?

PPSMI adalah akronim atau singkatan daripada ayat "Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris" Ini adalah satu kaedah atau cara mengajarkan mata pelajaran sains dan matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya dalam sistem persekolahan di negara ini.

Kaedah ini diputuskan secara mengejut dalam satu sidang kabinet khas pada bulan Julai 2002 dan dipaksakan kepada guru-guru dan murid-murid darjah satu (Sekolah Rendah), tingkatan satu dan tingkatan enam (Sekolah Menengah) mulai tahun pengajaran 2003. Sebelum itu, untuk selama hampir 30 tahun kedua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Melayu.
Perubahan ini (dari pada menggunakan bahasa Melayu kepada menggunakan bahasa Inggeris) boleh dikatakan berlaku dalam keadaan tergesa-gesa. Kerana itu dapat diduga bahawa pelaksanaannya dipaksakan tanpa persiapan yang sungguh-sungguh dan tanpa perbincangan yang menyeluruh di kalangan pakar pendidikan dan profesional perguruan. Tetapi bantahan masyarakat awam sejak awal lagi sudah cukup meluas walau tidak dapat liputan media yang wajar.


Hanya sejak akhir-akhir ini, liputan media massa mulai meluas dengan bertambah meluasnya bantahan dan sokongan pelbagai pihak. Tetapi liputan meluas oleh media massa itu adakalanya menambah kekeliruan kerana terdapat kecenderungan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tak tepat seperti "anti bahasa Inggeris" atau "emosional" atau "tak sayang anak bangsa."
Satu lagi akibat sampingan polemik PPSMI ini ialah terpinggir dan tersingkirnya dari aliran perdana tokoh-tokoh bahasa dan budaya yang selama ini kelihatan "bersahabat" dengan parti pemerintah.


Umpamanya, Sasterawan A. Samad Said yang selama ini kelihatan rapat dengan "aliran perdana" atau pihak establishment tetapi sekarang sudah mulai menampilkan dan menampakkan diri dalam acara-acara dan demonstrasi menentang PPSMI.
Begitu juga dengan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Ismail Hussein sekarang sudah secara terbuka memperlihatkan tentangan dan bantahan walau pun selama ini sesetengah pihak menganggap beliau mempunyai sikap yang akamodatif dan pro-establishment.
Satu lagi akibat sampingan yang saya anggap mendukacitakan ialah semakin meluasnya budaya "bermuka-muka" atau "berpura-pura" dalam kalangan sesetengah pegawai tinggi kerajaan. Mereka memperlekeh dan mencemuhkan PPSMI secara berbisik-bisik di warung-warung teh tarik atau semasa kudapan di majlis-majlis kerajaan. Tetapi mereka memberi sokongan secara terbuka di hadapan menteri atau di hadapan pemimpin-pemimpin politik yang pro-PPSMI itu.
Saya percaya polemik dan kontroversi PPSMI ini akan berterusan sehingga satu keputusan muktamad diambil dan dilaksanakan. Atau konflik ini mungkin akan menjadi lebih buruk jika keputusan muktamad itu nanti tidak dapat diterima oleh pihak-pihak berkenaan. Kalau itu berlaku, akibat sampingannya bukan sahaja membawa "padah" malah mungkin membawa "musibah."


Satu lagi soalan asas yang telah berulang kali ditanyakan dengan berbagai-bagai cara dan ungkapan ialah: Apa sebenarnya yang hendak dicapai oleh PPSMI? Sesetengah pihak menjawab untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Sesetengah pihak yang lain untuk memudahkan generasi baharu Malaysia mengikuti kemajuan sains dan teknologi.
Tetapi setakat ini, pada hemat saya, belum ada satu huraian yang lengkap dan sistematik mengenai matlamat sebenar yang hendak dicapai oleh PPSMI itu. Ini mungkin boleh juga dianggap sebagai satu lagi akibat sampingan daripada PPSMI itu, iaitu semakin berleluasanya sikap evasive, iaitu kecenderungan mengetepikan persoalan dan menangguhkan penyelesaian.


oleh;
DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH.
Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

copy@um by add

Pandangan empunya blog kompilasi@ bla,bla,bla....

PPSMI seharusnya dikekalkan.... tetapi perlu ada pembaikan dari segi perlaksanaan serta kaedah penyampaian dalam kedua-dua subjek tersebut.
1. Gunakan P&P serta buku teks dalam bahasa inggeris tetapi penerangan oleh guru menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pelajar dan tidak membebankan kepada guru.
2.Solan peperiksaan menggunakan dwi bahasa.
3.Beri kelonggaran kepada pelajar untuk menjawab dalam bahasa melayu,cina,tamil,inggeris atau dwi bahasa.
4.Merit perlu diberi kepada pelajar yang menjawab 100% menggunakan bahasa inggeris.(contoh :100%=5 markah,75%=3markah,50%=1markah dan bawah50% tiada markah merit).
5.JANGAN POLITIKAN PENDIDIKAN.
6.Saranan kepada GAPENA dan KUNCU-KUNCU,,,,-kalau betul mahu memartabatkan bahasa melayu, buatlah sesuatu terhadap budaya "bahasa SMS" yang begitu teruk menular dalam masyarakat Malaysia, sebagaimana contoh mudah ialah paparan sms yang kelihatan di tv ...apakah ada usaha pihak yang menganggotai GMP ini membuat sesuatu kearah membendung gejala yang amat tidak sihat... sebagaimana risaunya A.samad Said terhadap kepupusan bahasa melayu menjelang hari-hari mendatang,,, begitulah juga risaunya masyarakat sekarang ini terhadap "singkatan" bahasa sms yang amat berleluasa sehingga telah menular kepada gaya bahasa penulisan dalam pelajaran bahasa melayu di sekolah-sekolah.... apakah ini tugas kerajaan? GAPENA dan KUNCU-KUNCU,,,?

Monday, February 23, 2009

Surat Ku Untuk Mu-Betulkah?

SURAT TERBUKA ZAHID MD ARIP KEPADA PAKLAH

(GAP MENERIMA KIRIMAN EMAIL DPD PENULIS SURAT INI SENDIRI.SDR ZAHID MD ARIP TELAH MEMOHON KEPADA GAP UNTUK TIDAK MENGUBAH BARANG SATU PATAH PERKATAAN PUN KANDUNGAN SURAT.UNTUK MAKLUMAN SDR ZAHID MD ARIP MERUPAKAN CUCU KEPADA ALMARHUM TUN GHAFAR BABA BEKAS TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA)

PERMINTAAN TERBUKA KEPADA YAB DATO’ SERI ABDULLAH BADAWI
Tarikh : 16 Februari 2009 - Isnin
Daripada : Muhammad Zahid Bin Md Arip
No K/P : 660622-04-5355
No Ahli UMNO : 03468736

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah SWT Yang Maha Agung Lagi Maha Berkuasa. Selawat Dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Keluarga Dan Para Sahabatnya.YAB Dato’ Seri,Di dahului dengan doa dan harapan mudah-mudahan Dato’ Seri beroleh sihat sejahtera.

Izinkan saya memulakan bicara dengan mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan Selamat Berundur dan Selamat Meletakkan Jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia kepada Dato’ Seri.
Buat pengetahuan Dato’ Seri, peristiwa yang bersejarah dan penting ini, sememangnya di tunggu-tunggu dan di harap-harapkan oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Walaupun (InsyaAllah) ianya hanya akan berlaku pada akhir bulan Mac 2009 - kira-kira 1½ bulan dari sekarang, namun saya tidak mahu ketinggalan untuk menjadi warganegara Malaysia yang pertama merakamkan secara terbuka ucapan Selamat Berundur dan Selamat Meletakkan Jawatan kepada Dato’ Seri.
Bagaimanapun, dalam kita menghitung hari menunggu tibanya saat tersebut, terdapat beberapa spekulasi yang tidak enak di dengar sekali gus ianya boleh menambah rosak imej Dato’ Seri yang sedia tercalar selama ini.Bagi saya, saya tidak mahu imej rosak dan tercalar ini mengiringi pengunduran Dato’ Seri sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.Sebaliknya, saya mahu Dato’ Seri berundur sebagai anak jantan yang punya maruah dan harga diri. Dato’ Seri seharusnya memperlihatkan keikhlasan yang tinggi, supaya sejarah dan anak cucu di kemudian hari akan menganggap Dato’ Seri lah pemimpin yang boleh di jadikan contoh – yang meletakkan kepentingan UMNO dan Negara melebihi segala-galanya dan bukannya pemimpin yang bacul yang terlalu sayangkan jawatan – sehingga sanggup memporak-perandakan UMNO dan Negara yang tercinta.Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin mendedahkan beberapa spekulasi yang tersebar secara meluas yang sampai ke telinga saya. Saya harap pendedahan ini akan dapat di jawab dan di jelaskan oleh Dato’ Seri secara terbuka dengan ikhlas, supaya para penyebar spekulasi ini akan dapat di diamkan dan seluruh ahli UMNO mendapat kepastian yang sejelas-jelasnya.


SPEKULASI 1,
menyatakan;Dato’ Seri dan budak-budak “tingkat 4” sedang menggunakan para penulis blog pro pembangkang dan beberapa pemimpin pembangkang untuk memenafaatkan waktu 1½ bulan terakhir ini untuk terus menyerang, menghina dan mengaibkan Dato’ Sri Najib dan keluarganya. Konon katanya, ada kempen yang di lancarkan oleh mereka yang di restui sendiri oleh ahli keluarga Dato’ Seri – kempen tersebut diberi nama “NO TO NAJIB, YES TO PAK LAH”. Betul kah?

SPEKULASI 2,
menyatakan;Atas nasihat anggota keluarga dan penasihat-penasihat veteran dari kalangan sahabat, Dato’ Seri di katakan tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Agung UMNO. Walaupun tidak lagi menjawat jawatan Presiden UMNO, Dato’ Seri konon katanya tetap tidak mahu berhenti dan akan terus menjadi Perdana Menteri. Konon katanya, Dato’ Seri terlalu sayangkan jawatan tersebut.Dato’ Seri juga konon katanya sudah merancang untuk memasang seorang perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO untuk membawa usul tergempar supaya Dato’ Seri kekal sebagai Perdana Menteri. Kononnya keinginan Dato’ Seri sudah sampai ke tahap tidak menghormati tradisi pemilihan Perdana Menteri yang di amalkan oleh parti selama ini di mana sesiapa jua yang menjadi Presiden UMNO, maka dialah yang akan menjadi Perdana Menteri.

Spekulasi ini terus bertiup kencang apabila Utusan Malaysia (Khamis – 12 Feb 2009 – m/s 3) menyiarkan berita bergambar mengenai kempen secara besar-besaran promosi laman web Perdana Menteri yang mengajak rakyat berhubung secara terus dengan Dato’ Seri dengan menghantar cadangan, pandangan, teguran dan kritikan.Ada logiknya juga, apa perlunya promosi laman web ini di buat secara hebat dan besar-besaran jika usia pemerintahan Dato’ Seri hanya tinggal kira-kira 1½ bulan? Mungkin juga Dato’ Seri mempunyai lampu ajaib yang boleh menyelesaikan semua keluhan yang di hantar ke laman tersebut dalam masa 1½ bulan sahaja.Atau mungkin laman itu akan di gunakan oleh “gulungan tertentu” semahu-mahunya bagi merintih, merengek, merayu, memujuk dan mendesak Dato’ Seri supaya terus kekal menjadi Perdana Menteri walaupun tidak menjadi Presiden UMNO. Maklum sajalah – Dato’ Seri adalah Perdana Menteri “yang terhebat” dan “yang tersohor” yang pernah di lahirkan oleh UMNO.

Spekulasi ini juga menyebut, bahawa kononnya jadual Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri telah di susun padat oleh pejabat Dato’ Seri sehingga 31 Disember 2009. Dan, ini menggambar dan menandakan Dato’ Seri tidak mahu berhenti.Konon katanya lagi, satu gerakan yang begitu tersusun dan terancang sedang di laksanakan oleh budak-budak Dato’ Seri untuk membina keyakinan rakyat bahawa jika Dato’ Sri Najib menjadi Perdana Menteri, nescaya keadaan akan lebih teruk dan negara akan kucar kacir. Gerakan ini juga kononnya sedang membiayai beberapa NGO untuk mengutip tandatangan seberapa ramai orang untuk mendesak Dato’ Seri supaya jangan berundur sebagai Perdana Menteri. Soalan saya – betul kah?

SPEKULASI 3,
menyatakan;Dato’ Seri akan merombak kabinet dalam waktu terdekat ini. Konon katanya rombakan ini akan melibatkan Dato’ Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin lain termasuk membawa masuk YBM Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam kabinet. Kononnya rombakan ini adalah bertujuan untuk merendahtarafkan Dato’ Sri Najib sebelum beliau di buang dari kabinet. Lebih dahsyat lagi, spekulasi ini juga menyebut, Dato’ Seri dan penasihat-penasihat Dato’ Seri sedang merekacipta cerita dan pertuduhan untuk mendakwa Dato’ Sri Najib di mahkamah. Betul kah?

SPEKULASI 4,
menyatakan;Dato’ Seri akan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan pemimpin-pemimpin UMNO bertaraf ikan bilis termasuk mereka yang di katakan rapat dengan Dato’ Seri dan anggota keluarga Dato’ Seri, sebelum menahan pemimpin-pemimpin yang bertaraf ikan jerung yang benar-benar tidak sehaluan dengan Dato’ Seri.Manakala pemimpin-pemimpin yang bertaraf ikan jerung, yang menjadi kesayangan Dato’ Seri walaupun di katakan membeli pencalonan secara terang-terangan akan terselamat dari sebarang bentuk tindakan. Betul kah?

SPEKULASI 5,
menyatakan;Dato’ Seri sedang berusaha keras dengan melakukan pebagai cara untuk memastikan menantu kesayangan Dato’ Seri memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO. Betul kah?

SPEKULASI 6,
menyatakan;Dato’ Seri dan konco-konco Dato’ Seri sedang berusaha dengan begitu gigih dan keras dalam memastikan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kalah untuk jawatan Timbalan Presiden. Konon katanya Dato’ Seri mahukan Dato’ Seri Ali Rustam memenangi jawatan tersebut. Betul kah?

SPEKULASI 7,
menyatakan;Dato’ Seri konon katanya akan menggunakan peluang semasa menyampaikan Ucapan Dasar untuk membelasah Tan Sri Muhyiddin bagi menarik simpati perwakilan memberikan undi dan kemenangan kepada Dato’ Seri Ali Rustam. Kononnya, inilah caranya untuk Dato’ Seri membalas dendam kesumat terhadap kelantangan dan keberanian Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sehingga proses peralihan kuasa terpaksa di laksanakan.Spekulasi ini juga menyebut, Dato’ Seri begitu yakin Dato’ Seri Ali Rustam akan memenangi jawatan Timbalan Presiden kerana kononnya - dari 2 ribu lebih perwakilan yang akan berada di Dewan Merdeka, terdapat kira-kira 580 orang penerima darjah kebesaran DMSM yang membawa gelaran “DATUK”, DSM dan JP dari Melaka yang memangnya terhutang budi dengan Dato’ Seri Ali Rustam.Andaian di buat, jika setiap seorang dari 580 orang ini berkempen dan dapat mencari seorang sahaja lagi perwakilan untuk mengundi Dato’ Seri Ali Rustam, tidak syak lagi dan sudah tentu Dato’ Seri Ali Rustam akan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Sekali lagi saya mohon bertanya kepada Dato’ Seri – Betul kah?

Demikianlah spekulasi-spekulasi yang saya dengar mutakhir ini. Sebagai ahli parti yang bertanggung jawab, saya merayu dan memohon Dato’ Seri memberikan penjelasan dan menjawab spekulasi ini sejelas-jelasnya secepat mungkin atau dengan kadar segera. Tujuannya supaya UMNO yang kita dukung ini berada dalam keadaan jelas, aman dan proses peralihan kuasa berlaku dalam suasana ikhlas, aman dan damai.Kegagalan Dato’ Seri untuk menjawab spekulasi-spekulasi yang saya dedahkan ini akan menyebabkan ianya terus hidup subur dan kesannya amat tidak molek bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada Dato’ Seri sendiri.

NASIHAT
Nasihat saya kepada Dato’ Seri, ikhlaskanlah hati. Pergilah Dato’ Seri sebagai pemimpin yang punya maruah dan harga diri yang tinggi.Saya sangat-sangat berharap kepada Dato’ Seri, alang-alang berucap menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO nanti, tinggalkanlah pesanan dan wasiat yang baik-baik buat UMNO dan jangan sekali-kali Dato’ Seri lupa untuk mengumumkan sekali perletakkan jawatan Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia di akhir ucapan dasar itu nanti.InsyaAllah, Dato’ Seri akan dapat melihat dan akan dapat merasakan sendiri penghormatan dan tepukan bergemuruh sambil berdiri yang bakal diberikan oleh UMNO kepada Dato’ Seri.Sesungguhnya, kemuncak kerjaya bagi seseorang pemimpin UMNO ialah apabila dirinya mendapat penghormatan di dalam Perhimpunan Agung UMNO.Akhirkata, saya hadiahkan 3 rangkap pantun buat mengiringi pengunduran dan persaraan Dato’ Seri sebagai Presiden UMNO yang ke 6 dan Perdana Menteri Malaysia yang ke 5.

Tinggi Bukit Gilang-gemilang
Air pasang tenang-tenangan
Budi sedikit payah nak hilang
Itu menjadi kenang-kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur Badan di kandung tanah
Budi sedikit ku kenang juga

Terbang tinggi si rama-rama
Hinggap mari di pohon redup
Budi Tuan walau sedikit kami terima
Jadi kenangan seumur hidup

Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum WHB.
Yang benar,
MUHAMMAD ZAHID BIN MD ARIP

Copy@ GAP KEMBALI by add

Tuesday, February 17, 2009

Ancaman Bunuh???????

PULAU PINANG 16 Feb. – Pemuda Gerakan Bahagian Tanjung hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bahawa ada khabar angin mengatakan bahawa beliau akan dibunuh.
Laporan polis dibuat oleh Ketua Pemudanya, H’ng Khoon Leng dengan disertai 10 orang ahlinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini kira-kira pukul 5.30 petang. Turut serta, Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil kerana mahu polis menyiasat dakwaan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kerana tidak mahu komen sebegitu mencetuskan kekeliruan dan ketakutan rakyat negeri ini.
‘‘Kami mahu polis menjalankan siasatan lengkap terhadap kenyataan tersebut dan mahu perkara ini dijelaskan kebenarannya,” katanya.

Copy@utusan by add:

Komen saya: Mengapa Pemuda Gerakan membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri PP? Apakah tiada Pemuda DAP untuk melakukan kerja tersebut? Sedanagkan kita sudah sedia maklum bahawa Gerakan adalah dibawah BN walaupun sejak akhir-akhir ini Gerakan sudah mirip kepada DAP. Apakah kerana mereka satu kaum? atau inilah permulaan penghakisan sokongan terhadap BN oleh Gerakan. Dalam hal ini siapa untung dan siapa rugi serta kaum manakah yang cerdik dalam berpoliti?????

Thursday, February 12, 2009

Kemelut perundangan MB(lama&baru)

KEMELUT PELANTIKAN MB PERAK
Oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim

PERKEMBANGAN di Perak yang antara lain cuba mengheret Sultan Perak ke Mahkamah susulan pelantikan Menteri Besar (MB) baru, mengandungi ramuan yang boleh membawa kepada keadaan kelam-kabut.Jika tindakan tegas tidak diambil ia juga mungkin menimbulkan huru-hara politik, sesuatu yang jauh daripada diperlukan pada saat-saat negara menghadapi kesan kemelesetan ekonomi dunia.Kemelut di Perak memerlukan pemahaman dan penerimaan semua pihak yang terbabit. Apa yang diteraskan oleh perundangan negeri itu kini telah dipolitikkan oleh pelbagai pihak secara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Sultan Perak telah menggunakan kuasa dirajanya melantik Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir pada 6 Februari 2009.Menteri Besar (MB) terdahulu, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa seperti yang diberitakan media bahawa beliau telah tidak ditamatkan perkhidmatannya selaras dengan undang-undang, justeru pihaknya mengambil tindakan untuk 'meneruskan' perkhidmatannya dan Exconya sementara menunggu keputusan mahkamah.Malangnya pada masa yang sama pelbagai blog termasuk media cetak Pas, Harakah, bertindak menyebarkan hasutan membenci satu-satunya raja Melayu yang berwibawa dan bijaksana.

Sekarang semacam ada dua Menteri Besar dan dua Exco bagi negeri Perak, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya di dunia.Dalam situasi begini keadaan politik dan pentadbiran di Perak tampak berkecamuk lantaran begitu keterlaluan sesetengah pihak bertindak. Dalam hal ini jelas bahawa penyokong-penyokong PKR, DAP dan Pas merasakan lunas perundangan dan keadilan telah dikompromi sementara pihak Barisan Nasional pula puas hati bahawa semua tuntutan undang-undang negeri telah pun disempurnakan.

Perihal pada masa ini kuasa raja dan tuntutan politik telah bertembung tidak dapat dinafikan. Perkembangan ini membawa kita ke tahun-tahun 1993 dan 1994 apabila Perlembagaan negara dipinda melalui suara majoriti di Parlimen.Tindakan legislatif itu telah mengurangkan beberapa hak diraja sehingga semenjak tahun 1994 tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka jika melakukan jenayah atau terlibat dengan mungkir perjanjian formal.

Perkembangan di Perak jelas melibatkan kekasaran pembangkang di luar lunas adab dan tamadun sesebuah negeri Melayu yang berpemerintahan diraja. Malah ada pihak-pihak yang rela berbaring di jalan raya dan menghalang lalu lintas awam.Mempelawa membenci raja secara terbuka adalah secara terang dan nyata mencabul Rukun Negara dan merupakan jenayah hasutan yang wajar didakwa.

Ada tiga isu besar yang harus diselesaikan dalam kes di Perak ini.

Pertama adakah pemberhentian bekas MB Perak sah di sisi undang-undang?

Kedua, adakah pelantikan Zambry terbit daripada kuasa diraja yang sah?

Ketiga, perlukah diadakan sidang khas Dewan Undang Negeri (DUN) Perak bagi menentukan sokongan atau sebaliknya terhadap Barisan Nasional (BN) selaku parti yang dianggap sah telah mengatasi gabungan pembangkang PKR, DAP dan Pas?

Untuk menjawab persoalan-persoalan itu, punca kuasa ialah Perlembagaan Negeri Perak sendiri, khususnya Artikel 16 dan pecahannya. Perundangan inilah yang menentukan betul atau sebaliknya sesuatu tindakan yang telah, sedang dan bakal diambil berkaitan kemelut yang sedang berlaku di Perak.

Cuma yang menjadi muslihat ialah interpretasi pemakaiannya yang betul dan tepat dari segi perundangan. Sultan berpendapat tindakannya di bawah Artikel 16 betul sedangkan pembangkang mengatakan sebaliknya, justeru mahu mengheret sultan ke mahkamah.Seperti juga kuasa Raja Berperlembagaan di lain-lain negeri yang diperintah raja atau sultan, Sultan Perak mempunyai beberapa kuasa khusus yang tidak boleh dicabar atau dipersoalkan.Pertama baginda boleh bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Dewan Undang Negeri susulan mana-mana permintaan atau nasihat.Kedua, kuasa melantik seseorang daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti daripada kalangan ADUN berkenaan.Ketiga, hak mengemukakan permintaan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai kemudahan, kedudukan, penghormatan dan kebesaran diraja serta hak dan kuasa penentu sebagai ketua agama Islam dan payung adat istiadat Melayu di negeri Perak.Baginda berhak menentukan tidak menerima nasihat untuk membubarkan DUN tanpa memberi apa-apa sebab.

Kuasa dan peranan diraja ini tidak boleh dicabar di mahkamah sama ada menerusi konsep fraudem legis (muslihat negatif legislatif atau dewan perundangan) atau peruntukan statutori lain.Kedua, Sultan Perak di bawah Perkara 16(2)(a) berhak melantik (sebelum melantik ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda berkemungkinan beroleh sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri berkenaan. Dalam Perlembagaan Negeri-negeri dan juga Persekutuan, peruntukan ini sedia ada, cuma cara dan kaedah bagaimana sultan atau raja menyempurnakan fungsi ini tidak dinyatakan huraiannya di dalam Perlembagaan.

Di bawah Perlembagaan Negeri Perak tiada peruntukan yang menghalang sultan daripada menamatkan perkhidmatan seseorang MB jika baginda mendapati bahawa MB itu sudah tidak lagi beroleh sokongan majoriti anggota DUN. Artikel 16(6) jelas memperuntukkan perihal ini.

Harus diperhatikan lantaran di bawah provisi Artikel 16(4), raja mempunyai budi bicara yang luas untuk menentukan siapa harus dilantik sebagai Menteri Besar. Bahasa perlembagaannya menentukan bahawa ADUN yang dilantik sultan sebagai MB hendaklah terdiri daripada seorang yang pada hemat baginda berkemungkinan beroleh sokongan majoriti anggota Dewan berkenaan atau dalam bahasa Inggerisnya "who in his judgment is likely to command the confidence of the majority of the members of the Assembly".Atas keadaan inilah sebilangan orang berpendapat bagi menentukan anggota mana yang harus mendapat sokongan majoriti di DUN berkenaan perlu tertakluk kepada pungutan suara DUN sendiri justeru harus diadakan persidangan khas.

Memang banyak pihak menyokong pandangan ini tetapi harus disedari bahawa mengadakan undian atau pungutan suara di lantai DUN berkenaan hanya salah satu kaedah yang lazim tetapi ia bukan bersifat wajib jika sultan telah puas hati bahawa sesungguhnya seseorang MB itu sudah kehilangan sokongan majoritinya.Dengan peruntukan Artikel 16(2) bersekali dengan klausa (4) Perlembagaan Negeri Perak jelaslah bahawa apabila Sultan telah melantik Zambry melalui proses pengetepian peruntukan-peruntukan selainnya di bawah Perlembagaan negeri itu - sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang tubuh negeri itu.

Ini bermakna baginda telah menjalankan tugas dan fungsi perundangan.Ada pakar-pakar perlembagaan yang berpandangan bahawa memadai jika pihak diraja membuat keputusan subjektifnya tanpa mengadakan pengundian di sesuatu persidangan DUN bagi menentukan sokongan terhadap seseorang MB.

Dalam konteks Perak, sultan telah membuat kesimpulannya dengan mendengar huraian sendiri mengenai pendirian ketiga-tiga ADUN yang berkenaan (Jamaluddin Mohd. Radzi - PKR Behrang; Mohd. Osman Mohd. Jailu - PKR Changkat Jering dan Hee Yit Foong - DAP Jelapang).Ketiga-tiga mereka memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas tetapi bersedia menyokong BN.Baginda juga maklum tentang kembalinya semula Datuk Nasaruddin (DUN Bota) ke pangkuan UMNO/BN.

Dalam konteks ini baginda sedia arif bahawa BN telah pun beroleh sokongan majoriti mudah (simple majority) dengan pengakuan wakil-wakil rakyat itu di hadapan baginda.Mengadakan undian di DUN bukan merupakan satu-satunya cara untuk menentukan sokongan atau sebaliknya terhadap seseorang MB. Sultan Perak khususnya boleh membuat kaedahnya sendiri sejajar dengan Artikel 16(4) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Kes-kes terdahulu yang boleh dijadikan perbandingan, termasuklah kes Stephen Kalong Ningkan (1966) dan kes pertikaian Ketua Menteri di Sabah khususnya pada tahun 1994 dan perihal seorang pembesar di Nigeria melalui kes Adigbenro Akintola.Memang ramai yang menganggap bahawa kaedah melucutkan jawatan seseorang ketua kerajaan ialah melalui konvensyen undian di lantai dewan legislatif.

Tetapi harus ditegaskan kes-kes tersebut adalah nas-nas perundangan case law yang tidak terbit daripada peruntukan perlembagaan yang jelas atau khusus seperti di Perak.Ia tidak sama dengan kuasa yang ada pada Sultan Perak di bawah Perkara 16(4) Perlembagaan negeri itu yang bermaksud:Dalam perkara melantik seseorang Menteri Besar, Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah mengikut budi bicara baginda mengecualikan atau tidak memakai mana-mana peruntukan Perlembagaan ini (Perlembagaan Negeri Perak) berkaitan mana-mana had kuasa (restrictions) berhubung dengan pelantikan Menteri Besar, jika pada pendapat baginda tindakan sedemikian perlu untuk menyempurnakan kehendak peruntukan-peruntukan Perkara (16) ini.

Dengan perisai peruntukan ini jelaslah bahawa baginda sultan tidak terikat untuk mengikuti mana-mana kelaziman atau konvensyen seperti untuk mengadakan undian sokongan (vote of confidence) di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan seseorang anggota DUN itu layak dilantik sebagai MB.Peruntukan ini jugalah yang tampaknya digunakan baginda untuk menguatkuasakan tamatnya perkhidmatan Nizar sebagai MB Perak.

Cuma jika pengundian itu diadakan juga di DUN Perak dan berakhir dengan sokongan kepada Zambry, maka hasil dan kesannya memang boleh diibaratkan sebagai "sudah terang lagi bersuluh". Langkah itu akan menambah kuatkan lagi tindakan diraja itu.Bagaimanapun tanpa undian itu tindakan beliau melantik Zambry tetap utuh dan boleh dipertahankan di mahkamah.Dalam suasana begini elemen kewarasan dan adab amat penting.

Tetapi seperti biasa, manusia kurang tertarik kepada mengutamakan ketenangan berfikir.Sebilangan memilih terus untuk mengeruhkan keadaan.Dalam pada itu susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 harus tidak dilupai. Seseorang raja hanya boleh diseret ke mahkamah jika beroleh endorsmen Peguam Negara yang tentunya akan membuat penilaian dan pertimbangan yang amat teliti sama ada beliau puas hati untuk mengeluarkan endorsmen tersebut.

Amat wajar juga bagi Peguam Negara meneliti segala maki hamun dan hasutan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak setakat ini terhadap baginda Sultan Perak, khususnya penulis-penulis blog serta media cetak yang tampaknya beranggapan semacam negara ini sudah tidak ada undang-undang lagi.

Copy@DariKacamata Melayu by add

Thursday, February 5, 2009

Sumpahan?


MB PERAK (NIZAR) TERKENA SUMPAHAN!
Baginda Sultan Perak hari ini menitahkan agar Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai MB Perak berkuat kuasa dengan serta merta. Maka dengan ini, berakhirlah riwayat pemerintahan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Mengikut para sahabat, inilah padahnya jika seseorang manusia itu yang begitu cepat lupa di mana bumi yang dipijak dan langit yang dijunjungnya. Terlalu angkuh dan sombong, sehingga sanggup mengadai maruah anak bangsa dan agamanya sendiri.Angkara beliaulah, Institusi Istana Negeri Perak tercemar, diselar dan dicabar oleh Pengerusi DAP Karpal Singh. Sekolah-sekolah Tadika KEMAS yang menempatkan anak-anak rakyat yang miskin untuk mendapat pendidikan asas ditutup. Hak milik tanah orang Melayu dipinggirkan dan diberi keutamaan kepada masyarakat Cina di Kampung-Kampung Baru di seluruh Negeri Perak. Sanggup membelakangi Undang-Undang Kanun Tanah Negara yang memboleh pajakan 99 tahun tetapi kerana kesombongan dan keangkuhan Mohammad Nizar ditambahnya 999 tahun. Sekolah agama rakyat yang daif tidak diambil kisah tetapi sekolah Cina pula yang diutamakan.Siapakah yang menguasai Perak selama sepuluh bulan ini? PAS yang hanya mempunyai enam kerusi ataupun DAP yang mempunyai 18 kerusi? Jadi siapakah sebenarnya Mohammad Nizar ini?Kita bukanlah nak main isu perkauman, tetapi kalau orang Cina di Kampung Baru diberi hak memajak tanah sampai 999 tahun, kenapa tidak boleh melibatkan juga tanah-tanah di perkampungan orang Melayu? Begitu juga soal bantuan kewangan kepada sekolah Cina, kita tidak pertingkaikan, tetapi janganlah pula sekolah agama rakyat yang daif di Perak terabai. Apabila orang dah heboh satu dunia barulah nak jengok. Apakah yang patut kita namakan pemimpin Melayu yang seperti ini? Perolehi kuasa kerana bendera parti Islam, tetapi kepimpinannya tidak sedikitpun melambangkan roh Islam. Orang PAS juga ikut kecewa dengan sikap dan tingkah laku Dato Seri Mohammad Nizar, tetapi apakan daya kerana untuk menjaga maruah parti, mereka terpaksa mengunci mulut. Walaupun Lidah terjelir, tekak terasa sakit terpaksa ditelan juga. Inilah balasan Allah kepada manusia yang sombong dan angkuh setelah peroleh kuasa. Sesungguhnya, apa yang berlaku di Perak harus diambil iktibar kepada yang peroleh kuasa, tak kira orang UMNO, PAS atau PKR, kita Melayu dan Islam walau apapun fahaman politik yang dianuti, ingatlah apa saja yang ada pada kita di dunia ini semuanya bersifat semantara. Yang berkuasa dan kekal abadi hanya Allah!Orang UMNO jangan cepat mendabik dada kerana apa yang terjadi di Perak itu amat jarang berlaku dalam sejarah politik negara, ia lebih merupakan satu episod yang berlaku secara kebetulan. Permainan politik tidak sama dengan kehendak dan citarasa rakyat. Para sahabat cukup bersetuju dengan komen Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang melihat tindakan BN menerima sokongan bekas dua orang ADUN Parti Keadilan Rakyat yang sedang berhadapan dengan tuduhan rasuah bukan satu idea yang baik.Jika mereka di dapati bersalah, sama ada mau atau tidak, pilihan raya kecil terpaksa di adakan. Apabila pilihan raya berlaku, apakah BN sekarang sudah cukup bersedia untuk menghadapinya? Apakah MCA, GERAKAN, MIC dan PPP sudah mampu untuk berhadapan dengan pengaruh DAP di 18 kerusi ADUN di Perak? Begitu juga dengan kekuatan PKR dan PAS? Jika sekirannya kedua-dua ADUN bebas ini benar-benar didapti tidak bersalah oleh mahkamah, BN juga akan berhadapan dengan masalah iaitu tomohan dan perminan politik pembangkang. Semantara Institusi kehakiman ikut dipolitikkan, terseret dengan fitnah dan prasangka. Kerenah dan hati busuk pembangkang kita semua sudah cukup arif. Mereka tidak peduli siapa, daripada mati lemas dengan sia-sia, belakang buayapun mereka panjat, apabila dah selamat, soal siapa telan siapa, itu bukan lagi menjadi angka wahid.Walau apapun, para sahabat di Titiwangsa cukup yakin dengan kemampuan Dato Seri Najib yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, bakal Presiden parti dan Perdana Menteri. Begitu juga dengan anak Bagan Datok, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO. Apa yang kita harapkan, bakal MB Perak yang akan ditentukan sedikit masa lagi, biarlah terdiri daripada tokoh yang benar-benar mempunyai kualiti kepimpinan mesra rakyat. Jangan pula sebelum dapat kuasa bukan mainkan mesra rakyatnya, masuk kampung keluar kampung, bersongkok dan berketayap, tetapi apabila dah ada kuasa bertukar kulit daripada mesra rakyat jadi musuh rakyat!


Copy@titiwangsakini by add

Tuesday, February 3, 2009

Cadangan Pembaharuan UMNO

Berikut adalah cadangan pembaharuan Umno saya:
Presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota majlis tertinggi hendaklah diundi secara langsung. Dengan itu, tiada lagi sistem perwakilan.
Ketua parti negeri hendaklah dipilih melalui undian oleh para anggota pada peringkat negeri, dan bukan dilantik oleh presiden.
Sistem kuota dalam penamaan calon hendaklah dimansuhkan
Penamaan calon ahli parlimen hendaklah dibuat oleh Bahagian dan bukan oleh presiden parti.
Pemegang jawatan tinggi-tingi dalam parti hendaklah tidak menjawat kedudukan tertinggi dalam kerajaan. Ini bertujuan untuk mengasingkan politik parti daripada tanggungjawab menerajui kerajaan. Fokus para pemegang jawatan dalam parti hendaklah pada usaha ke arah pengukuhan dan penambahbaikan parti. Para anggota kabinet, yang terpilih daripada kalangan anggota parti yang menjadi ahli parlimen, hendaklah menumpukan perhatian kepada keutamaan nasional.
Barisan syor pemulihan menyeluruh ini menangani isu-isu struktur yang menghalang kejayaan usaha membasmi rasuah dalam Umno melalui perubahan otek-otek yakni sedikit demi sedikit secara perlahan-lahan. Begitu teruk menjalarnya pelbagai gejala perosak hinggakan reformasi struktur secara menyeluruh sebegini diperlukan kini. Segala perubahan seperti yang dicadangkan menjurus kepada pembaharuan keseluruhan kepimpinan Umno maka usah hairan betapa kalangan yang keberuntungan hasil sistem yang sedia ada, pasti sanggup melakukan apa saja, demi menguburkan cadangan sedemikian. Sebaliknya mereka akan cuba mengetengahkan langkah-langkah superfisial lagi dangkal serta perubahan ala melepaskan batuk di tangga. Bukankah begitu respons mereka terhadap aib yang terpalit bahana PRU 8 Mac 2008 yakni usaha penjenamaan semula BN, seolah-olah rakyat tentunya puas hati dengan perubahan pek sahaja sedangkan yang menjadi masalah ialah produk di dalamnya.
Syor-syor ini melewati usaha menangani rasuah dalam parti dan juga bertujuan untuk
mengagihkan kuasa pusat dalam Umno, dan mengembalikannya sebagai parti yang dipacu oleh gerakan dari akar umbinya
memulihkan demokrasi Umno dan dengan itu mengembalikan kesahan dan kewibawaannya
membawa kebertanggungjawaban ke dalam Umno agar ia memberikan respons yang lebih baik kepada para anggotanya serta rakyat umum
menyisihkan proses politik dalam Umno daripada perkhidmatan yang kita curahkan dalam kerajaan demi negara kita
membuka pintu kepada kalangan warga muda yang berbakat dan bertenaga lantas menyegarkan semula parti agar parti ada harapan masa depan
Segala syor yang saya utarakan sejak Mac tahun lalu dalam usaha saya menjelajah seantero negara kita ini untuk menemui dan berbincang dengan para pemimpin tempatan dan anggota biasa parti, telah disekat daripada terpapar dalam media arus perdana. Semoga paparannya dalam ruang ini menyampaikannya kepada khalayak yang lebih ramai serta tersebar dan merangsang perbincangan serius yang perlu berlaku dalam Umno sebelum terlambat pabila “sesal kemudian tiada gunanya” lagi.
Yang penting bukanlah agar para anggota Umno sependapat dengan saya tetapi harapan semoga mereka yang turut sedar betapa parti mereka sedang dalam kancah krisis yang serius akan sedia merenungi serta bertindak agar berlaku perubahan asas yang sewajarnya. Yang kita tak dapat terima ialah perbuatan menerima saja panadol yang dihulurkan sedang yang memang diperlukan ialah pembedahan memindahkan organ.

copy @razaleigh.com by add

Monday, February 2, 2009

HUDUD UMNO

Surat Tun M kepada MB Kelantan menjelaskan kenapa Hudud sukar dilaksana di Malaysia !

PERDANA MENTERI MALAYSIA
YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik MatMenteri Besar KelantanKELANTAN
Y.A.B. Tuan Haji,

PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993DI NEGERI KELANTAN
Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)Bertarikh 8 Jun 1994

Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.

1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kapada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu “tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum).” Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW. sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya dizaman itu.

3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.

4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan akan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:

(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran.
Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan. Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.

(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.
Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.
Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan ia adalah satu kezaliman yang dahsyat.

5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolak sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .

6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.

7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
15 Julai 1994


Tambahan :
Menarik ulasan di blog brokenthecode tentang kata kata Anwar Ibrahim : “Menurut IMAM SHAFIE perkara yang pertama yang perlu menjadi asas kepada membentuk hukum HUDUD adalah sesebuah negara itu perlu membangun dan sudah mencapai taraf maju.”
Jadi apa lagi halangan kita untuk bersatu selepas ini selepas jelas HUDUD tidak lagi menjadi faktor menjarakkan hubungan antara kita ?
Jelas bahawa UMNO / BN tidak menolak Hudud bahkan memberi respon dengan fakta fakta lengkap agar PAS memahami tetapi ia tetap sama menjadi isu dan diulang ulang menjadi isu utama mencari sokongan politik umat islam..

Kesian umat kita.
NAZRAH MADAD YA NABI ALLAH YA RASULULLAH YA HABIBALLAH
Copy @ustazmodern webblog by add