Saturday, October 11, 2008

Mukhriz VS KJ

October 11, 2008


MONOLOG AZLI SHUKRIBab 8 : Kenapa Bukan Khairy
Memilih pemimpin bukanlah seperti memilih pakaian. Mana-mana yang kita berkenan, maka kita terus memilih dan membeli tanpa banyak berfikir. Memilih pemimpin juga bukanlah seperti memilih makanan yang mana-mana kita suka, maka kita terus makan, tanpa banyak berfikir. Tetapi, memilih pemimpin adalah umpama memilih seorang isteri atau seorang suami. Mesti kenal dan mesti pastikan bahawa calon isteri atau suami tersebut memahami diri dan mengetahui hati budi kita yang sebenar. Begitu juga dalam memilih seorang pemimpin, sebelum kita memilih seseorang pemimpin, seharusnya kita fahami terlebih dahulu siapakah pemimpin yang hendak kita pilih itu. Bukan boleh main ikut suka atau ikut hati semata-mata. Kita seharusnya melakukan analisis terlebih dahulu, layak atau tidak seseorang itu memegang sesuatu jawatan yang sedang dipertandingkan. Hal ini adalah kerana, jawatan adalah amanah dan tanggungjawab. Jika salah kita memilih, maka akan hancurlah sesuatu organisasi tersebut. Dan kita menanggung dosanya.
Bertitik tolak daripada hal itu, dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, calon yang hendak dipilih mestilah benar-benar kita kenal. Dari segi akhlaknya, pemikirannya dan juga latar belakangnya. Jika tidak, UMNO akan hanyut daripada hati orang-orang muda. Jika kita sayangkan UMNO, kepimpinan pemuda harus benar-benar utuh dan bebas daripada fitnah yang boleh merosakkan nama baik pemuda UMNO itu sendiri. Dalam soal ini, kita harus rasional dalam berpolitik dan bukan lagi berpolitik ikut suka dan ikut bulu. Kita harus mengikut kebenaran dan membuat pertimbangan dengan rasional dan adil, serta mencari Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang memperjuangnya kebenaran dan tidak mementingkan diri sendiri.
Saya secara peribadi melihat calon yang terbaik menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia ialah Datuk Mukhriz Mahathir, dan bukan Khairy Jamaluddin atau calon-calon yang lain. Kita harus faham terlebih dahulu kondisi atau keadaan UMNO ketika ini. UMNO sedang berhadapan dengan zaman pancaroba dan zaman fitnah paling dahsyat dalam sejarahnya. Oleh sebab itu, Ketua Pemuda UMNO yang harus dipilih, ialah individu yang mampu berhadapan dengan fitnah dahsyat dan dakyah pembangkang, di samping mampu menyerapkan unsur-unsur agama dan amanah dalam perjuangan pemuda. Dalam hal ini, saya tidak nampak mengapa mesti ada pemuda bahagian yang mencalonkan Khairy Jamaluddin? adakah mereka tidak dapat melihat apakah yang telah berlaku kepada UMNO selama beliau berada di dalam UMNO?
Semua orang, tanyalah kepada hati kecil masing-masing, tiada sesiapa pun yang mampu menafikan, bahawa Khairy Jamaluddin merupakan salah satu faktor yang menyebabkan UMNO dipandang negatif dalam kalangan masyarakat, bahkan dalam kalangan ahli pemuda UMNO sendiri. Semua orang tahu, beliau merupakan fitnah besar kepada UMNO dan Pemuda UMNO, itu realiti dan bukan fantasi.
Oleh sebab itu, setelah saya menganalisis secara rapi berkenaan Khairy Jamaluddin, maka saya bertanggungjawab untuk menyampaikan perkara yang hak dan benar, bahawa beliau tidak berupaya memimpin Pemuda UMNO Malaysia untuk masa hadapan. Lantaran itu, para perwakilan pemuda harus merenung kembali analisis-analisis saya ini, sebelum mencalonkan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Mohon petunjuk kepada Allah dan hindarilah saya daripada menganalisis beliau secara tidak amanah dan jujur. Sama-sama kita renung hujah-hujah saya ini. Dan bersama-samalah kita berdoa yang terbaik untuk pemuda UMNO Malaysia.
Dalam siri pertama ini saya bentangkan 3 hujah dahulu daripada (7+1 hujah) agar sama-sama kita berfikir sebelum mencalonkan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Kepada Kahiry Jamaluddin saya mohon maaf, kerana saya terpaksa bercakap benar dan tidak boleh lagi menyimpan perkara yang hak dan saudara akan dinilai dengan adil dan saksama. "Ya Allah, Engkau berikan kekuatan kepada hamba-MU ini untuk bercakap perkara yang hak dan benar, dan janganlah sesekali Engkau pesongkan niat dan hasrat murni hamba-Mu ini. Hanya kepada-Mu aku berserah, agar tulisan ini lahir dengan rasa kesedaran dan keikhlasan dan bukan untuk menimbulkan fitnah kepada mana-mana individu. Amin."
Hujah 1 : Imej merupakan nadi penting kepada seseorang pemimpin. Jika imejnya buruk dan jelek, maka pemimpin itu dikira buruk dan jelek pada kaca mata masyarakat. Pemimpin pada hari ini, akan diukur kepada sejauh mana imej beliau di kaca mata masyarakat. Jika imej seperti seorang ustaz, maka imej baiklah yang akan muncul pada pandangan masyarakat. Jika imejnya seperti seorang doktor, maka imej pandailah yang melekat dalam minda masyarakat. Oleh sebab itu, imej amat penting dalam memilih pemimpin. Semasa Nabi Muhammad sebelum diutus sebagai rasul, imej baginda dalam kalangan penduduk Mekkah ialah al-Amin, yakni orang yang sangat dipercayai dan tidak pernah menipu serta jujur dalam tutur katanya. Maka, itulah imej baginda sehingga baginda wafat. Jadi, imej amat penting bagi seorang pemimpin untuk membina pengaruh dan meyakinkan orang ramai.
Nah, sekarang mari kita tutup sebentar mata kita. Dan sebuat nama Khairy Jamaluddin, berlaku jujur, apakah imej yang anda bayangkan untuk beliau? Kita akan banyak terbayang perkara yang negatif tentang dirinya – umpamanya imej yang terlintas dalam kota minda kita ialah, beliau seorang yang gelojoh dan ingin cepat berkuasa dalam politik, tidak tahu erti sabar, banyak campur tangan dalam pentadbiran negara, banyak mempengaruhi perdana menteri, suka ambil kesempatan, dan sering menimbulkan masalah. Dan sekarang, cuba imejkan pula individu yang bernama Datuk Mukhriz Mahathir, apakah yang kita bayangkan? Seorang yang berani, jujur, tidak suka mengambil kesempatan sewaktu ayahnya menjadi perdana menteri, berterus-terang dan mempunyai visi dan misi seperti ayahnya juga. Pendek kata, imej Mukhriz adalah positif berbandingan dengan Khairy dan calon-calon lain, apatah lagi Mukhriz dibayangi oleh ketokohan ayahnya yang sangat dikagumi oleh banyak pihak, “Mahathir” nama yang meniti di setiap bibir lawan dan kawan – jadi, mengapa masih terdapat pemuda-pemuda UMNO bahagian yang masih memilih Khairy? Apakah agenda kita yang sebenarnya sewaktu kita mencalonkan nama Khairy? Saya tidak nampak imej baik Khairy pada kaca mata masyarakat? Tetapi, mengapa masih ada yang terus mencalonkannya?
Hujah 2 : Sepanjang Khairy Jamaluddin memasuki UMNO, dan semenjak beliau ingin bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, fitnah telah menjalar terlalu kuat dalam UMNO dan tempiasnya turut terkena kepada seluruh lapisan Masyarakat. Batang tubuh Khairy Jamaluddin telah menjadi fitnah yang sangat dahsyat kepada UMNO, bukan sahaja kerana beliau naik begitu pantas, malah lebih daripada itu. Dengan munculnya versi Hikayat Khairy Jamaluddin yang tersebar luas di alam maya, namanya sudah terlalu kotor untuk dibersihkan kembali. Tatkala Tun Mahathir berhujah bagaimanakah peranan beliau melakukan campur tangan dalam pentadbiran Pak Lah dan mempengaruhi perdana menteri berhubung isu-isu politik, namanya sudah harum semerbak – sebagai watak jahat dalam episod “Pemuda UMNO yang Paling Berkuasa dalam Zamannya.”
Semua ini melengkapkan ramuan sebuah kek fitnah yang paling besar dalam sejarah penubuhan UMNO dan Pemudanya. Beliau tidak hanya dikaitkan dengan sifat suka campur tangan dalam pentabdiran negara dan politik – bahkan namanya juga terheret dalam tayangan gambar paling panas berjudul “Skandal KJ dan Maya Karim”. Walaupun semua ini didakwa sebagai fitnah, namun demikian, punca pintu fitnah ini dibuka adalah melalui sikap dan sifat beliau sendiri, bukan orang lain. Tidak perlu menyalahkan sesiapa pun dalam soal ini. Beliau sendiri yang merebahkan dirinya dalam gaung fitnah yang amat dalam. Dan sekarang, seluruh warga UMNO dan Barisan Nasional menerima padahnya dalam pilihan raya ke-12.
Mereka yang masih menafikan faktor KJ yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU ke-!2, telah cuba membelanya dengan mendakwa, bahawa isu rasuah dan penyelewengan kuasa yang dilakukan pada zaman Tun Mahathir adalah penyebab utama UMNO dan BN kalah teruk dalam PRU-Ke12. Hujah ini dangkal dan mudah dipatahkan – yakni bukankah isu rasuah dan penyelewangan kuasa adalah isu yang sememangnya dimainkan oleh semua orang sejak Tun Mahathir memimpin Malaysia lagi? Tetapi mengapa, UMNO dan BN tidak pernah kalah seteruk ini dalam pilihan raya?
Jadi, sudah pasti ada faktor lain yang membantu menggoncangkan kekuasaan UMNO dan BN yang tidak pernah berlaku dalam sejarahnya. Bukankah sebelum ini, isu rasuah, perempuan dan kronisme sering didendangkan oleh pembangkang? Tetapi mengapa BN tetap kukuh dengan kuasa majoritinya di Parlimen? Oleh sebab itu, sudah pasti terdapat faktor lain yang menyebabkan BN kalah seteruk ini. Hal ini, tak lain dan tak bukan, adalah disebabkan oleh faktor Khairy Jamaluddin! Beliau merupakan fitnah yang jauh lebih dahsyat daripada fitnah-fitnah yang lain, termasuk isu rasuah dan sebagainya. Dalam diri Khairy itu terhimpun pelbagai fitnah yang sangat sukar untuk dibuang dan dicuci. Beliau dikaitkan dengan begitu banyak fitnah – beliau merupakan watak kronisme dan nepotisme paling nyata dalam sejarah penubuhan UMNO, menggunakan hubungan darah dan sijil nikah untuk melompat naik ke puncak – satu watak yang sukar diampunkan oleh sesiapa pun. Beliau turut menjelmakan watak Machiavelli – pemuda Itali yang gila kuasa. Semua ini adalah fitnah kepada UMNO dan menghancurkan dirinya. Dan orang seperti ini, tidak layak dilantik sebagai pemimpin. Pemimpin yang penuh dengan fitnah tidak layak memimpin parti dan kerajaan, kerana rakyat akan muak dan memberontak. Cukup! Hentikan pencalonan kepada Khairy!
Hujah 3 : Satu lagi faktor yang mudah orang lupa ialah, prestasi kerja Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia selama hampir empat tahun. Sekarang mari kita berlaku jujur dan jangan menipu diri sendiri lagi. Apakah yang hendak kita tulis berkenaan rekod pencapaian kerjanya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia selama ini? Sangat Cemerlang, Cemerlang, Kurang Cemerlang, Sederhana atau Gagal? Mana satu pilihan kita – berlaku jujur dalam soal ini. Jangan teruskan monolog bodoh kita, dengan berbisik “Aku Tidak Tahu”. Tanyakan kepada akal serta hati dan bukan bertanya kepada Khairy “How Much You Want To Give?”.
Hampir semua idea dan projek di bawah Khairy telah mengalami kegagalan. Ke mana perginya MyTeam? Apakah yang sudah terjadi dengan program mengurangkan pengangguran dalam kalangan lepasan ijazah yang kononya dahulu mendapat kerjasama yang amat baik dengan syarikat-syarikat besar tempatan? Apakah yang sudah terjadi dengan program “Dampingi Mat Rempit” yang pernah dilakukan dahulu di Dataran Merdeka dan menerima kritikan pedas daripada pelbagai pihak, kerana program tersebut didakwa lebih banyak membawa musibah serta menggalakkan pergaulan bebas. Apakah yang terjadi dengan program “Terjun Kutub Utara” yang kononnya ingin membuat rekod anak Melayu adalah hebat dan ingin menanam al-Quran di sana sebagai tanda kehebatan anak Malaysia, nasib baik idea gila ini ditegur oleh Mufti Perak. Berapa ramaikah pemuda Malaysia yang dibenarkan terjun lagi? Apakah impaknya? Rakyat tidak nampak.
Sebagai bekas Pengerusi Forum Halal Sedunia suatu ketika dahulu, apakah yang telah beliau lakukan dalam membantu pemuda-pemuda UMNO menceburi industri yang sangat menguntungkan ini. Berapa ramai ahli pemuda UMNO yang berjaya atas nama industri Halal? Boleh dihitung dengan ibu jari kaki. Rakyat dan ahli UMNO tak nampak. Sekarang, Sebagai Timbalan Presiden FAM – kita tercari-cari idea Khairy dalam menyuntik pembangunan bola sepak negara agar lebih bertenaga dan berjaya. Tetapi, hasilnya semakin teruk, kekalahan demi kekalahan dialami oleh pasukan bola sepak Malaysia. Akhirnya, semua ini membawa kita kepada satu kesimpulan, bahawa beliau merupakan seorang Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya selama ini.
Lantarannya itu, apakah alasannya lagi untuk beliau diberi peluang menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula? Ketika Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda, beliau telah diberi secukupnya ruang dan peluang, bagi membuktikan keupayaan sebenar beliau. Dengan kemenangan percuma yang diterimanya sebagai Naib Ketua Pemuda, ditambahkan pula sebagai menantu kepada Perdana Menteri Malaysia, sesungguhnya beliau sudah cukup selesa dan kuat untuk melaksanakan idea dan tanggungjawabnya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang paling berjaya dan cemerlang dalam kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia yang tidak pernah tertulis dalam lipatan sejarah– tetapi malang, beliau telah gagal dan hasilnya tiada. Yang ditemui hanyalah “Cetusan Rasa Perkauman yang Menakutkan ” melalui ciuman bergilir si Keris Sang Saka Bangsa – idea siapakah itu?
Khairy Jamaluddin, nama yang gagal sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Dan apakah dengan segala kegagalan ini, melayakkan beliau untuk dicalonkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Hanya mereka yang tidak tahu makna cemerlang, gemilang dan terbilang sahaja, yang sanggup mencalonkan nama Khairy Jamaluddin. Orang yang telah terbukti gagal dalam tanggungjawabnya, tidak layak untuk dinaikan pangkat. Sudah, hentikan pencalonan untuk Khairy!
Bersambung....
Ditulis Oleh Muhammad Azli Shukri at 11:58 AM 18 Ulasan
Labels:

2 comments:

Muhammad Azli Shukri said...

saya link blog saudara. seperti yang saya telah janjikan.

add said...

terima kasih saudara azli. Landasan kita adalah sama...