Friday, January 23, 2009

Bukan Melayu dipinggirkan?

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy menyalahkan rejim pemerintahan lama dan dasar UMNO sebagai punca wujudnya ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam. Lebih ekstrem lagi, beliau mendakwa bahawa permohonan bukan Melayu untuk berkhidmat dalam sektor awam dikoyak tanpa diproses. Pemerintahan UMNO dikatakan menjadi punca ketidakseimbangan kaum dalam sektor pekerjaan negeri dan pusat.
Dalam mengulas isu ini, dakwaan mengoyakkan borang permohonan bukan Melayu amat berat. Kita perlu tahu prosedur dan undang-undang sebelum membuat dakwaan, apatah lagi cerdik pandai seperti Ramasamy yang pernah bergelar profesor semasa berkhidmat di universiti awam.
Semua sedia maklum bahawa segala permohonan perkhidmatan kerajaan diproses oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) yang kini diketuai oleh Tan Sri Ismail Adam. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan satu ketika dahulu yakni, JPA sukar merapatkan jurang antara kaum dalam perkhidmatan awam kerana orang Cina dan India kurang berminat menyertai sektor perkhidmatan awam.
Tidak banyak permohonan daripada bukan Melayu adalah antara faktor utama wujud jurang besar, berbanding pegawai Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) katanya, menunjukkan hanya 1.78 peratus kaum Cina dan 2.5 peratus kaum India daripada 486,802 individu yang memohon untuk menyertai sektor awam tahun lalu. Aspek yang diambil kira dalam pengambilan adalah merit dan kelayakan akademik bukannya kaum.
Kenyataan JPA ini kemudiannya disangkal oleh MCA dalam buletin mereka, The Guardian. Orang Cina mempunyai persepsi bahawa hak mereka dalam perkhidmatan awam seperti peluang mendapatkan biasiswa dan kenaikan pangkat dinafikan oleh kerajaan. Adalah tidak benar bahawa orang Cina tidak tertarik menyertai perkhidmatan awam disebabkan oleh faktor kurang minat dan gaji rendah yang ditawarkan, berbanding sektor swasta.
Statistik berikut dikeluarkan oleh MCA mengenai permohonan sektor perkhidmatan awam berasaskan kaum, sebagai bantahan kepada JPA (The Guardian, Vol 6, December 2007)
Statistik
Saya tidak pasti statistik ini benar atau tidak tetapi, menurut MCA, jurang permohonan ke perkhidmatan awam berasaskan bangsa amat besar (Musa Ile Chong dan Christina Seah, 2007). Mengikut statistik tahun 2005 pula, mereka yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam berasaskan kaum adalah, Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India 5.14 peratus.
Berbanding tahun 1971, angka kaum Cina dalam perkhidmatan awam adalah sebanyak 20.2 peratus. Dalam tempoh 35 tahun, angka ini menurun 10 peratus. Kini, kaum Cina dalam perkhidmatan polis berada pada aras di bawah tiga (3) peratus.
Kajian bekas Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai seterusnya pula menunjukkan bahawa orang Cina memang tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam sebagai kakitangan bawahan. Kalau ada pun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar yang berpangkat tinggi. Misalnya dalam perkhidmatan polis, daripada 250 belia yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan inspektor berbanding jawatan konstabel.
Kajian ini menunjukkan bahawa orang Cina tidak mahu berada pada kedudukan pangkat rendah. Mereka mahukan kedudukan yang lebih tinggi. Inilah yang saya istilah sebagai ultra kiasu.
Daripada kajian ini, apa yang saya dapat simpulkan adalah trend sengaja menonjolkan yang negatif atau hanya melihat perkara yang negatif, dan sengaja menyembunyikan perkara yang positif semakin menjadi-jadi hari ini. Ia ibarat menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan di atas kelemahan politik Melayu hari ini. Lebih malang lagi, kerajaan jarang bertegas.
Apabila tuntutan ekstrem dikemukakan, maka jawapannya setiap kali adalah ia akan dikaji. Malangnya, kajian tidak dibuat-buat. Sedangkan orang lain terus membuat kajian dan mengkaji perkara yang negatif dan menyembunyikan yang positif.
Yang negatif sengaja ditonjolkan dan diuar-uarkan menjadi satu isu besar dan meletup ibarat bom sedia untuk meledak. Bila sesuatu isu itu meletup dan meledak, maka terkial-kiallah pemimpin kerajaan untuk mencari jawapannya. Inilah taktik dan strategi yang digunakan pada hari ini untuk mendapatkan sesuatu yang telah pun mereka dapat, supaya mereka terus dapat dan dapat lebih lagi.
Sedangkan kita sedia maklum, kerajaan telah memberi dan membuka peluang kepada bukan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Jawatan-jawatan tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perkhidmatan awam yang lain telah dibuka. Kita telah lihat muka-muka bukan Melayu berada di sana. Jika bilangan bukan Melayu yang berada pada posisi tinggi tidak ramai, itu adalah adil namanya, sebab peratusan mereka kecil berbanding orang Melayu. Pokoknya, ruang dan peluang telah dibuka oleh kerajaan.
Alasan lain yang boleh saya perturunkan adalah;
(i) menurut kajian, penyertaan kaum Cina tidak bertambah kerana mereka lebih gemar terbabit dalam sektor korporat atau perniagaan sendiri. Ia dilihat sebagai satu kerjaya yang lebih baik berbanding makan gaji dalam sektor awam sekadar cukup makan;
(ii) kenaikan pangkat dalam sektor awam agak sukar disebabkan oleh bilangan kakitangan Melayu agak ramai;
(iii) orang Cina berjiwa besar, bangga dengan tamadun mereka, bongkak (Comber, 2007) dan lebih suka berdikari. Pendek kata, penglibatan dalam sektor perniagaan sendiri telah menjadi darah daging mereka. Maka tidak hairan jika mereka menguasai lebih 70 peratus ekonomi persendirian seperti di Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia (Amy Chua, 2003);
(iv) awal-awal lagi orang Cina berpersepsi adalah sukar untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam kerana sektor ini dibolot oleh orang Melayu atau persekitaran Melayu. Jika berjaya pun mendapatkan sesuatu jawatan itu, terlalu sukar untuk mendapat kenaikan pangkat; dan
(v) orang Cina biasa tidak selesa bekerja dalam persekitaran Melayu, kerana bringing-up atau sosialisasi politik mereka amat berbau perkauman seperti pendidikan, tempat tinggal, media dan sebagainya.
Keadaan ini menyebabkan, majoriti orang Cina (mungkin juga India), lebih selesa bergaul sesama mereka berbanding bangsa lain. Inilah fakta yang mesti dihadapi dan ditangani apabila kita gagal mengintegrasikan dan mengasimilasikan bangsa yang berhijrah.
Tuntutan yang lebih ekstrem lagi, MCA terus mendesak mahukan sektor perkhidmatan awam mestilah mencerminkan populasi kaum iaitu penguasaan 25 peratus orang Cina (The Guardian, Vol 6, December 2007).

Kajian
Persoalannya, kenapakah orang bukan Melayu tidak melihat isu yang sama dalam bidang ekonomi (DEB) seperti yang telah dibincangkan sebelum ini? MCA, DAP dan Gerakan mahukan DEB dihapuskan sedangkan pemilikan ekuiti bumiputera (Melayu) baru mencapai 18 peratus (45 peratus mengikut kajian Lim Teck Ghee), berbanding populasi mereka sebanyak 65 peratus.
Kenapakah MCA tidak membangkitkan mengenai agihan pemilikan ekuiti ekonomi negara berasaskan formula peratusan populasi kaum, 65 peratus bumiputera, 25 peratus Cina dan selebihnya lain-lain kaum, seperti yang dituntut dalam perkhidmatan awam?
Persoalan yang perlu difikirkan bersama, jika bilangan orang Melayu ramai dalam perkhidmatan awam, siapakah pelanggan-pelanggan mereka? Sudah tentu pelanggan-pelanggan mereka adalah orang bukan Melayu (Cina) yang terlibat dalam sektor perniagaan. Misalnya, dalam perkhidmatan sektor pembinaan dan perumahan.
Kita lihat pula berapa ramai orang Melayu diambil bekerja dalam sektor perniagaan orang Cina. Seperti mana yang saya katakan dahulu, kalau ada pun orang Melayu diambil bekerja hanya untuk melariskan perniagaan sahaja, terutama dalam sektor perkhidmatan dan pemakanan. Misalnya, perbankan Islam, orang Islam 'dipergunakan' untuk mendapatkan pelanggan-pelanggan Melayu Islam. Begitu juga dalam sektor pemakanan. Orang Melayu dijadikan sebagai simbol untuk melariskan jualan.
Tidak kurang juga orang Melayu yang dilantik menjadi pengerusi syarikat ini dan itu yang dipunyai oleh orang Cina. Pelantikan dibuat hanya untuk mendapatkan projek dan tender kerajaan semata-mata. Orang Melayu dipergunakan sebagai puppet (patung) untuk mendapatkan keuntungan berjuta dan berbilion ringgit. Sedangkan kita tahu, orang Melayu yang dilantik sebagai pengerusi dalam syarikat tersebut itu hanya dibayar elaun beberapa ribu ringgit sahaja.
Justeru, bagi saya, penurunan peratus bukan Melayu dalam sektor awam tidaklah mengejutkan kerana memang sudah menjadi budaya Cina mereka tidak berminat menyertai sektor awam, apatah lagi sektor keselamatan seperti polis dan tentera. Kerana ia sudah menjadi budaya orang Cina bukan sahaja kiasu (takut kalah) tetapi juga kiasi (takut mati).
Justeru, bagi saya tuntutan DAP yang akan disokong oleh MCA dan Gerakan tidak lama lagi, sekadar untuk mengaburi mata masyarakat agar tuntutan mereka yang lain sebenarnya dipenuhi, bukan kerana jumlah bilangan bukan Melayu yang tidak diproses.
Satu lagi kebimbangan orang Cina ialah mengikut statistik kadar populasi (kadar kelahiran) orang Melayu semakin bertambah berbanding orang Cina yang semakin lama semakin menurun disebabkan oleh kadar kelahiran yang rendah. Ini bermakna, hak-hak Melayu menjadi semakin banyak dan bertambah, manakala hak-hak orang Cina pula semakin berkurangan.
Sekali lagi orang Cina akan menjadi mangsa. Justeru, pelbagai tuntutan mesti dikemukakan (Lee Boon Kok, Temubual, 8 Januari 2007).
Saya tidak menafikan campur tangan politik UMNO dalam perkhidmatan kerajaan, tetapi tidaklah sampai sanggup mengoyakkan permohonan tersebut. Inilah pemikiran ultra kiasu yang selalu saya bangkitkan kalangan pemimpin dan pengikut DAP yang mendakwa mereka adalah jaguh memperjuangkan semua kaum di negara ini atau parti untuk semua kaum. Hakikatnya, parti ini tetap parti Cina yang ultra.



By Mohd. Ridhuan Tee Abdullah@UM copy by add
.

2 comments:

azlishukri said...

add - bagus kajian ini. Betul bangsa lain tak tahu bersyukur hidup di Malaysia ni.

Panglima Perang Cyber said...

salam add.

tq datang ziarah blog saya.

apa kata kita sama2 dlm BPN ?

harap sudi bersama rakan2 kita yg lain.

salam hormat.