Wednesday, November 19, 2008

Orang Melayu perlu pertahankan hak mereka - Tun Mahathir

PUTRAJAYA 19 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu orang Melayu tidak terus mengambil sikap mempertahankan diri apabila hak-hak dan keistimewaan mereka dicabar oleh pihak tertentu terutama selepas UMNO catat prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu.
Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya untuk orang Melayu mengambil sikap 'menyerang' bagi memastikan hak-hak yang dinikmati selama ini dapat dipertahankan.
''Kita lihat sekarang ini ramai orang Melayu cuma mempertahankan diri tetapi tidak menyerang, kita cuma marah dengan kata jangan sentuh hak keistimewaan Melayu dan agama Islam.
''Kita harus mempertahankan kedudukan kita tetapi ungkapan orang Inggeris kata bahawa serangan adalah satu bentuk pertahanan yang paling baik, jadi kita kena serang, itu cara terbaik untuk mempertahankan diri," katanya ketika berucap pada Program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, orang Melayu sejak dahulu mempunyai sikap yang lemah lembut dan ada kalanya tidak mahu mempertahankan diri walaupun tahu diri mereka tidak bersalah selain enggan menuduh orang lain bersalah.
Sebab itu katanya, apabila terdapat pihak mempertikaikan sosial kontrak, orang Melayu hanya mempertahankan diri bahawa mereka mempunyai keistimewaan yang telah ditetapkan dalam kontrak tersebut.
Bagaimanapun jelas beliau, orang Melayu tidak mendedahkan perkara-perkara yang dipersetujui mereka dalam kontrak sosial yang telah dinikmati oleh kaum lain di negara ini.
''Kita cuma pertahankan bahawa kontrak sosial beri keistimewaan tetapi kita tidak kata tentang apa yang kita beri dalam kontrak sosial, kita bagi banyak.
''Tunku (Abdul Rahman Putra) memberikan satu juta kerakyatan kepada orang bukan Melayu tanpa apa-apa soalan, ini ada dalam ucapan Tun Tan Siew Sin.
''Kalau hendak ambil balik hak Melayu, kita juga nak ambil balik hak yang diberikan kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menyatakan, selepas pilihan raya umum lalu, banyak pihak menyatakan mereka menolak perkauman tetapi mereka secara terang-terangan mempersoalkan mengapa orang Melayu mendapat begitu banyak hak di negara ini.
''Mereka mahu bahasa mereka digunakan dalam papan tanda dan mempersoalkan Melayu sebagai pendatang yang dikatakan tidak berbeza dengan orang Cina dan India," katanya.
Beliau turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak menyamakan kemenangan Barack Obama sebagai Presiden ke-44 Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sebagai satu petanda bahawa negara ini juga perlu dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang bukannya dari kalangan orang Melayu.
''Sejak Obama menang, ia jadi masalah pula kepada kita, sedangkan beliau tidak boleh disamakan dengan kita.
''Memang dia berkulit hitam dan ada campuran sedikit tetapi hakikatnya dia menerima budaya dan bahasa di AS yang asalnya dijajah oleh Anglo-Saxon. Dia cukup dengan identiti Amerika," katanya.

No comments: