Friday, February 27, 2009

UMNO di penghujung rindu...???!!!


UMNO yang ku junjung sudah ke penghujung.

1. Ramai antara yang membaca tulisan saya membuat kritikan terhadap saya kerana saya seolah-olah dipunyai (possessed) oleh UMNO; seolah-olah UMNO ini seperti Agama yang tidak boleh ditinggalkan walaupun parti itu telah menjadikan orang Melayu dalam keadaan parah.

2. Saya dikatakan buta mata hati kerana masih ingin melihat UMNO itu kukuh sedangkan impian hanyalah ibarat mimpi di siang hari.

3. Ramai yang menghantar e-mail kepada saya supaya melupakan sahaja UMNO ini kerana UMNO sudah lari terlalu jauh daripada tujuan asal penubuhannya.

4. Dalam pada itu, ramai pula yang membuat interpretasi bahawa saya sudah tidak setia kepada UMNO kerana kritikan pedas saya terhadap parti tertua di mana saya adalah ahlinya.

5. Ramai juga yang faham bahawa kritikan saya itu merupakan introspeksi untuk UMNO sendiri bagi mengharapkan perubahan sikap ahli dan pemimpin parti ini agar UMNO terus menjadi sandaran kepada masa depan orang Melayu dan bangsa-bangsa lain yang tinggal dan bermastautin di negara bertuah ini.

6. Apa pun pandangan daripada sesiapa pun saya tetap membuat kritikan kerana saya mahu melihat UMNO seperti UMNO yang saya kenali dahulu.

7. Seorang yang saya baru kenal membuat panggilan telefon kepada saya kerana beliau nak tahu apa yang saya ingin lihat, kerana beliau mengakui yang dia kurang faham tentang apa sebenarnya yang saya maksudkan dan katakan selama ini.

8. Sebenarnya inilah masalah pemimpin UMNO yang sebenarnya; mereka tidak faham dan mahu tahu apa sebenarnya UMNO itu dan bagaimana hendak menjadi ahli yang baik kepada sebuah parti yang sedang menghadapi krisis besar seperti yang kita hadapi sekarang.

9. Oleh kerana mereka tidak faham tentang kenapa dia menjadi ahli, maka banyak tindakan dan keputusan mereka dianggap buruk dan akhirnya menjadikan parti itu dipandang rendah oleh masyarakat yang mengundi.

10. Saya pernah mengusulkan cadangan supaya ahli UMNO tidak perlu diperbesarkan, kerana lagi besar jumlah keahliannya lagi banyak masalah yang akan parti itu hadapi.

11. Jika hampir 45 peratus orang Melayu menyertai UMNO bermakna semua sampah sarap masuk ke dalam parti itu dan akan banyak ‘infighting’ di peringkat cawangan yang puluhan ribu jumlahnya.

12. Apabila sampai waktu pilihanraya maka undi akan lari kerana perpecahan di peringkat cawangan boleh dirasai dan dilihat di mana-mana.

13. Apa yang penting bagi sebuah parti seperti UMNO ialah memperkuatkan dasar dan perlaksanaan dasar yang tepat, bersih daripada salah laku pelaksana dan memberikan manfaat kepada ahli dan rakyat.

14. Jika UMNO dihormati dengan cara ini maka rakyat yang mengundi akan memberi penghormatan dan pengiktirafan dan sekaligus mudah untuk menyambung mandat yang telah diberikan oleh mereka selama ini.

15. Apakah salahnya jika UMNO hanya menerima hanya 250,000 ahli tetapi parti itu disanjung dan dihormati oleh rakyat?

16. Apakah faedahnya mempunyai 3 juta ahli yang berpecah-belah sedangkan akhirnya rakyat akan mentelaah kemajuan parti tersebut melalui dasar yang dibentuk dan perlaksanaan yang bersih daripada rasuah dan salahguna kuasa oleh pelaksana?

17. Dahulunya, kepimpinan UMNO di peringkat cawangan sangat dihormati kerana kepimpinan cawangan-cawangan kebanyakannya dikuasai oleh guru-guru.

18. Guru adalah orang yang dihormati oleh masyarakat dan itulah sebabnya di cawangan-cawangan tidak banyak bergolak kerana imej seorang guru di desa dan di kampung sangat tinggi.

19. Tetapi sekarang cawangan-cawangan dikuasai olih ahli-ahli perniagaan maka itulah factor yang menyebabkan UMNO diperniagakan dari cawangan sehingga ke peringkat tertinggi parti.

20. Baru-baru ini saya dikatakan oleh seorang ahli UMNO yang saya ini seorang yang bodoh kerana tiada dapat apa-apa berjuang dalam UMNO malahan saya telah hilang segala-galanya.

21. Dia mengatakan saya begitu bodoh kerana akhirnya anak isteri dan keluarga menjadi korban hidup dalam kesusahan dan disebaliknya orang-orang yang mengikuti saya dahulu sudah jadi Menteri dan Menteri Besar dan jawatan-jawatan pentingyang lain dalam kerajaan dan swasta.

22. Salah seorang lagi berkata kepada saya, “Bro, you are the victim of being to obsessed with certain leaders which ultimately make yourself a political destitute and no one look at you and in the end you are not even given human regard by them.. You are sinking and no one even bother to know about your livelihood.”

23. Saya hanya mampu menjawab, “someone has to act stupid bro, and I choose to be one. As long as I know myself that I am not stupid, I shall remain as what I am.”

24. Bagi orang seperti ini mereka menganggap saya bodoh alang. Pandangan seperti ini tentunya terbit daripada sikap mereka yang memandang UMNO itu tempat mencari makan dan memperkayakan diri dan keluarga.

25. Saya bukan anti orang yang hendak menjadi kaya tetapi saya tidak bersetuju dengan sesiapa yang menggunakan UMNO untuk kepentingan peribadi sehingga mengorbankan perjuangan parti itu.

26. Memang pun UMNO itu wujud untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dalam semua bidang kehidupan.

27. Kritikan kawan-kawan saya terima dengan penuh hormat walaupun saya sendiri kadangkala tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Tetapi saya hanya menerima dengan baik niatnya hendak melihat saya hidup dalam keadaan lebih baik sedikit.

28. Sebagai seorang yang sudah masuk ke dalam kumpulan warga emas saya sudah mula belajar hidup sendirian dengan keluarga dan sanak-saudara.

29. Itu sebenarnya kehidupan yang sejati dan jika saya merawat kesihatan saya, saya akan masuk wad di hospital tanpa memberi tahu sesiapa selain daripada anak isteri yang telah bersusah-payah berkorban dengan saya selama ini.

30. Saya ikhlas untuk melihat kawan-kawan berjaya dari jauh dan itu adalah santapan jiwa yang yang sangat enak bagi saya.

31. Saya akan puas jika saya lihat negara saya ditadbir dengan kepimpinan yang bersih daripada rasuah dan salahguna kuasa kerana ia akan membangunkan negara dengan baik untuk generasi yang akan datang termasuklah anak cucu saya sendiri.

32. Yang penting sekarang UMNO mesti berubah sikap secara total. Saya bersama orang ramai memang tidak ada keyakinan dengan barisan sekarang dan barisan yang akan mengambil alih ini.

33. Jangan tidak percaya kepada pandangan saya ini; jika Najib benar-benar ambil alih sama-sama kita lihat, UMNO akan terkubur.

34. Saya amat takut, kerana UMNO yang selama ini ku junjung seolah-olah sudah sampai ke penghujung usianya. Jika itu berlaku apalah yang bakal terjadi kepada orang Melayu yang rata-ratanya masih lemah ini.Sekian…

copy@ Aspan Alias by add

No comments: