Tuesday, March 10, 2009

Isu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris .

Gerakan Munir tampak semakin lemah. Raihan masih berusaha memutuskan tali yang berbelit ditubuh sahabatnya itu. Buih-buih halus yang keluar dari rongga Munir semakin berkurangan. Sedari tadi lagi Munir sudah beberapa kali memberi isyarat pada Raihan agar meninggalkannya sendirian. Namun Raihan tidak tergamak. Selagi mampu, tubuh Munir akan dilepaskan dan dijuakkan ke permukaan.Berada pada kedalaman 60 kaki di dasar tasik bukanlah perkara yang asing bagi mereka. Namun keadaan kali ini memang berbeza. Besi padu dari runtuhan jeti di tebing tasik telah menghempap kaki Munir. Tali-tali kecil yang melurut bersama tiang itu membelit tubuh Munir menyebabkan ia tidak boleh melepaskan diri. Kini tangki oksigen Munir juga sudah kontang. Tangki kepunyaan Raihan juga sudah semakin susut dan akan kehabisan bila-bila masa sahaja. Tali sial yang membelit tubuh Munir belum dapat dirungkai, malah semakin utuh apabila batang besi itu berinsut.Raihan memandang wajah sahabatnya dengan sayu. Dia sedar, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukannya. Dia harus naik ke permukaan sekarang. Jika tidak, mayat mereka berdualah yang akan dinaikkan oleh orang lain nanti. Tegarkah Raihan meninggalkan Munir yang masih bernyawa itu? Mahu tidak mahu itulah keputusan yang sedang diambil Raihan kini......................

Demikianlah sukarnya membuat keputusan. Barangkali itulah yang dirasakan para pejuang bahasa Melayu yang mengusung keranda 152 dalam demonstrasi di Istana Negara kelmarin. Itu jugalah perasaan yang turut dikongsi oleh saya dalam isu PPSMI ini. Seperti mengulum buah Simalakarma, ditelan mati emak diluah mati bapa. Dalam keadaan begini kita perlu kembali pada realiti. Kerajaan bukan suka-suka hendak mengusik sensitiviti orang Melayu.

Kerajaan bukan sekali-kali hendak membunuh bahasa Melayu. Malah Bahasa Melayu tidak akan mati dek penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains.Kerajaan boleh sahaja membuat keputusan yang popular dengan membatalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains & Matematik sebagaimana kerajaaan membatalkan permit kerja 70 ribu pekerja Bangladesh setelah banyak pihak mendesak.

Kerajaan boleh sahaja mengubah keputusan membenarkan kenaikan tol tidak sampai 12 jam setelah kenaikan diumumkan.

Kerajaan tidak berdegil semata-mata kerana egois atau angkuh.Kenyataannya, apapun bahasa yang digunakan dalam pengajaran kedua-dua subjek tersebut hanya sebahagian kecil sahaja pelajar yang akan lulus dengan cemerlang. Sebahagian besar pelajar hanya akan memperolehi keputusan sederhana sahaja. Jika tidak percaya, tanyakan pada orang sekeliling anda yang belajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu.

Kitapun tidak mengimpikan semua rakyat cemerlang dalam Sains dan Matematik. Itu hanya fantasi.Sebahagian besar pelajar akan menyertai bidang teknikal, agama, sastera, pertanian, dan sebagainya. Dalam pada itu penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris akan lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Sebagai contoh, kita berharap akan memperolehi ilmuan Islam yang mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Soalan kedua, adakah bahasa Melayu akan pupus dengan perlaksanaan PPSMI? Tidak. Sebagaimana yang dinyatakan tadi hanya sebahagian kecil sahaja akan meneruskan pelajaran di universiti dalam bidang Sains dan Matematik sebagaimana juga yang berlaku sebelum ini.

Soalan ketiga, adakah pelajar Melayu terutama di luar bandar akan menjadi korban? Jangan lupa, jika pelajar Melayu terpaksa belajar dua bahasa, pelajar cina perlu belajar tiga bahasa termasuk bahasa ibunda mereka. Jika diikutkan kaum Cina lah yang akan membantah PPSMI ini.

Bagi pelajar Melayu di luar bandar, melalui PPSMI lah mereka mempunyai masa tambahan untuk berbahasa Inggeris. Selain dari waktu itu, mereka akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Mereka tidak seperti rakan-rakan yang lahir dalam keluarga yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah. Mereka juga kurang didedahkan dengan interaksi dan komunikasi luar menggunakan bahasa Inggeris. Hanya di sekolah sahaja tempat mereka memberikan perhatian pada bahasa tersebut. Kita tidak mahu mereka semakin ketinggalan.

Soalan keempat, kenapa tidak kita asingkan pelajar yang ingin berbahasa Inggeris dengan yang 'tidak mampu'? Jawabnya, kerajaan (Tun DrM) tidak mahu bersikap tidak adil. Mereka mahu membuka peluang kepada semua rakyat tanpa mengira darjat. Malah jika kerajaan mengasingkan pelajar berbahasa Inggeris dengan yang berbahasa Melayu, pihak pembangkang tentu akan mendakwa bahawa kerajaan memang zalim.

Pembangkang memang begitu.
Apapun, Demang ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sasterawan Negara A. Samad Said kerana memainkan peranan dengan baik. Adalah menjadi tanggungjawab beliau dan orang seperti beliau untuk mengingatkan kerajaan supaya tidak tersilap membuat keputusan.

copy @ Demang Lebar Daun by add.

No comments: