Tuesday, February 3, 2009

Cadangan Pembaharuan UMNO

Berikut adalah cadangan pembaharuan Umno saya:
Presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota majlis tertinggi hendaklah diundi secara langsung. Dengan itu, tiada lagi sistem perwakilan.
Ketua parti negeri hendaklah dipilih melalui undian oleh para anggota pada peringkat negeri, dan bukan dilantik oleh presiden.
Sistem kuota dalam penamaan calon hendaklah dimansuhkan
Penamaan calon ahli parlimen hendaklah dibuat oleh Bahagian dan bukan oleh presiden parti.
Pemegang jawatan tinggi-tingi dalam parti hendaklah tidak menjawat kedudukan tertinggi dalam kerajaan. Ini bertujuan untuk mengasingkan politik parti daripada tanggungjawab menerajui kerajaan. Fokus para pemegang jawatan dalam parti hendaklah pada usaha ke arah pengukuhan dan penambahbaikan parti. Para anggota kabinet, yang terpilih daripada kalangan anggota parti yang menjadi ahli parlimen, hendaklah menumpukan perhatian kepada keutamaan nasional.
Barisan syor pemulihan menyeluruh ini menangani isu-isu struktur yang menghalang kejayaan usaha membasmi rasuah dalam Umno melalui perubahan otek-otek yakni sedikit demi sedikit secara perlahan-lahan. Begitu teruk menjalarnya pelbagai gejala perosak hinggakan reformasi struktur secara menyeluruh sebegini diperlukan kini. Segala perubahan seperti yang dicadangkan menjurus kepada pembaharuan keseluruhan kepimpinan Umno maka usah hairan betapa kalangan yang keberuntungan hasil sistem yang sedia ada, pasti sanggup melakukan apa saja, demi menguburkan cadangan sedemikian. Sebaliknya mereka akan cuba mengetengahkan langkah-langkah superfisial lagi dangkal serta perubahan ala melepaskan batuk di tangga. Bukankah begitu respons mereka terhadap aib yang terpalit bahana PRU 8 Mac 2008 yakni usaha penjenamaan semula BN, seolah-olah rakyat tentunya puas hati dengan perubahan pek sahaja sedangkan yang menjadi masalah ialah produk di dalamnya.
Syor-syor ini melewati usaha menangani rasuah dalam parti dan juga bertujuan untuk
mengagihkan kuasa pusat dalam Umno, dan mengembalikannya sebagai parti yang dipacu oleh gerakan dari akar umbinya
memulihkan demokrasi Umno dan dengan itu mengembalikan kesahan dan kewibawaannya
membawa kebertanggungjawaban ke dalam Umno agar ia memberikan respons yang lebih baik kepada para anggotanya serta rakyat umum
menyisihkan proses politik dalam Umno daripada perkhidmatan yang kita curahkan dalam kerajaan demi negara kita
membuka pintu kepada kalangan warga muda yang berbakat dan bertenaga lantas menyegarkan semula parti agar parti ada harapan masa depan
Segala syor yang saya utarakan sejak Mac tahun lalu dalam usaha saya menjelajah seantero negara kita ini untuk menemui dan berbincang dengan para pemimpin tempatan dan anggota biasa parti, telah disekat daripada terpapar dalam media arus perdana. Semoga paparannya dalam ruang ini menyampaikannya kepada khalayak yang lebih ramai serta tersebar dan merangsang perbincangan serius yang perlu berlaku dalam Umno sebelum terlambat pabila “sesal kemudian tiada gunanya” lagi.
Yang penting bukanlah agar para anggota Umno sependapat dengan saya tetapi harapan semoga mereka yang turut sedar betapa parti mereka sedang dalam kancah krisis yang serius akan sedia merenungi serta bertindak agar berlaku perubahan asas yang sewajarnya. Yang kita tak dapat terima ialah perbuatan menerima saja panadol yang dihulurkan sedang yang memang diperlukan ialah pembedahan memindahkan organ.

copy @razaleigh.com by add

3 comments:

taipingmali said...

Salam perjuangan....

Setuju dgn cadangan tuan.....tahniah

azlishukri said...

saya pun setuju. nanti saya nak pinjam artikel ini.

add said...

TM,bukan cadangan dari saya tetapi dari YM Tg Razaleigh .
MAS, dipersilakan.